KEMAHIRAN yang dipelajari daripada program boleh membantu meningkatkan keyakinan diri pesakit kanser.
KEMAHIRAN yang dipelajari daripada program boleh membantu meningkatkan keyakinan diri pesakit kanser.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PESAKIT kanser yang sedang menjalani rawatan biasanya mengalami perubahan penampilan fizikal kerana rutin yang dilakukan di hospital.

Ia menyebabkan ramai pesakit kanser khususnya wanita, kurang keyakinan diri akibat perubahan penampilan fizikal.

Menyedari hal itu, Amorepacific Malaysia yang memiliki jenama kosmetik popular seperti Laneige, Sulwhasoo, Innisfree, Ryo dan Mise En Scene tampil bekerjasama dengan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk mengadakan program tanggungjawab sosial (CSR) 'makeup your Life' pada bulan ini dan Disember depan.

Menerusi program itu, pihak terbabit menawarkan pendidikan mengenai solekan dan penjagaan kulit untuk membantu pesakit kanser mencantikkan penampilan serta mengembalikan semula keyakinan diri ketika mereka menjalani rawatan.

Pengurus Negaranya, Margaret Chin berkata, program itu bertujuan membantu pesakit kanser untuk bangkit semula menjalani kehidupan seharian dengan penuh keyakinan melalui pelbagai petua dan produk solekan.

"Kemahiran solekan yang dipelajari daripada program ini jika diamalkan boleh membantu meningkatkan keyakinan diri pesakit kanser.

"Kami memahami perasaan wanita yang terpaksa melalui perubahan penampilan fizikal akibat rawatan dan berharap inisiatif itu dapat membantu mereka membuat perubahan dalam kehidupan yang terjejas," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif terbabit kerana sokongan emosi juga penting dalam rawatan untuk pesakit kanser.

Katanya, pusat perubatan itu mengamalkan pendekatan holistik dan pusat kanser sehentinya direka untuk menyediakan penjagaan lengkap yang memfokuskan kepada keperluan pesakit.

"Program ini melengkapkan rawatan sokongan pusat kami dalam menawarkan pendidikan dan sokongan yang diperlukan pesakit kanser untuk meringankan banyak aspek kehidupan seharian mereka.

PROGRAM ‘make up your life’ diadakan bagi membantu mengembalikan keyakinan diri pesakit kanser.
PROGRAM ‘make up your life’ diadakan bagi membantu mengembalikan keyakinan diri pesakit kanser.

"Pada masa sama, ia juga dapat mengingatkan pesakit bahawa walau apa pun cabaran yang dihadapi, mereka sebenarnya masih memiliki kecantikan tersendiri," katanya.

Sementara itu, program berkenaan menyasarkan untuk mendekati lebih 160 pesakit kanser di pusat perubatan berkenaan menerusi beberapa bengkel yang diadakan antara bulan ini dan Disember depan sempena sambutan ulang tahun SJMC ke-37.

Ia juga adalah sebahagian daripada komitmen '2030 A MORE Beautiful Promise' oleh Amorepacific.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 6:15 AM