Yusliza Yakimir Abd Talib


MENDENGAR saja perkataan kanser payudara pasti menggerunkan mana-mana wanita apatah lagi jika penyakit pembunuh nombor satu wanita itu didiagnosis berlaku kepada diri sendiri.

Meskipun kanser payudara adalah barah paling biasa dialami wanita seluruh dunia, kanser payudara metastatik (mBC) iaitu yang sudah merebak ke anggota lain pasti menambah derita penghidapnya.

Berdepan hakikat isteri tercinta mengalami penyakit itu memang meruntun jiwa, namun sebagai suami, Iznan Ismail akur dengan ujian menimpa keluarga dan insan teristimewa itu khususnya.

Tidak mahu mengalah dengan takdir dan ujian tertulis untuknya, Iznan mengakui dia sedaya upaya membantu dan berada di sisi isteri, Hasra Azwanis Che Hashim sepanjang perjalanan berjuang memerangi penyakit itu.

“Saya cuba bersikap positif, menyimpan kebimbangan atau kerisauan daripada pengetahuan isteri selain sentiasa menyokong setiap tindakannya dalam melawan kanser.

“Menemani isteri setiap kali perlu mendapatkan apa-apa saja rawatan di hospital adalah satu daripadanya. Saya tidak pernah menganggap ujian ini satu beban sebaliknya hikmah dalam menguatkan hubungan kami sebagai suami isteri dan ibu bapa kepada tiga anak.

“Sentiasa berdoa pada Allah, sentiasa positif dan kadang-kadang saya suka bergurau bersama keluarga dan teman bagi menghilangkan kerisauan serta menenangkan perasaan. Itu yang menjadikan saya semakin kuat meneruskan hari dengan bersemangat dan positif,” katanya.

Mengimbau detik yang mengubah kehidupannya sekeluarga, Iznan berkata, segalanya bermula pada 2014 apabila isterinya mengadu terdapat ketulan pelik pada payudaranya lantas mengambil keputusan memeriksanya di klinik swasta sebelum doktor mencadangkan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

Katanya, pakar bedah kanser payudara mengesahkan Hasra menghidap kanser payudara tahap dua. Rawatan dimulakan dan keadaannya semakin stabil selepas dua tahun.

Namun, pada Jun tahun lalu, Hasra mengalami batuk yang berpanjangan dan walaupun mendapatkan rawatan di beberapa klinik, batuk berkenaan masih tidak sembuh menyebabkan suaranya seperti tidak dapat keluar sepenuhnya.

“Kebetulan isteri pergi ke klinik pakar bedah kanser payudara yang merawatnya sebelum ini bagi pemeriksaan rutin setiap enam bulan, doktor perasan isteri saya mengalami batuk dan memintanya mendapatkan pemeriksaan lanjut berkaitan kanser.

“Isteri saya kemudian disahkan menghidap mBC apabila sel kanser daripada barah payudara yang dihidapinya lima tahun lalu sudah merebak ke anggota lain. Punca batuk berpanjangan sebelum ini adalah disebabkan sel kanser menyerang pada bahagian limfoma,” katanya.

SESI perkongsian bersama media di program ‘Embracing Life with Metastatic Breast Cancer’ bersama penjaga pesakit MBC, Iznan Ismail (kanan) yang ditemuramah oleh pengacara majlis. FOTO Mustaffa Kamal
SESI perkongsian bersama media di program ‘Embracing Life with Metastatic Breast Cancer’ bersama penjaga pesakit MBC, Iznan Ismail (kanan) yang ditemuramah oleh pengacara majlis. FOTO Mustaffa Kamal

Hasra kemudian diperkenalkan kepada EMBRACE iaitu program sokongan pesakit oleh Pfizer bagi membantu keterusan rawatan pesakit mBC untuk kesihatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Menerusi program ini, pesakit mBC dapat merancang kewangan mereka dengan lebih baik serta mengakses rawatan perubatan inovatif dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Iznan turut menasihatkan agar suami sentiasa bersama isteri di kala mereka gembira atau berduka kerana kegembiraan atau keceriaan yang ditunjukkan kadangkala paparan di wajah sahaja.

Katanya, isteri akan tetap cuba menyimpan kesedihan atau keperitan yang dialaminya kerana tidak mahu membuatkan suami risau.

“Setiap masalah yang timbul, jangan mudah mengalah untuk mencari jalan penyelesaian. Mengadu kepada Allah agar dipermudahkan semua urusan,” katanya.

Iznan dan Hasra boleh dikatakan bertuah kerana mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi mengenai mBC. Sedangkan masih ramai wanita kurang sedar mengenai mBC malah ada yang langsung tidak pernah mendengarnya.

Ini dibuktikan menerusi tinjauan dijalankan Pfizer Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) baru-baru ini yang mendapati masyarakat masih kurang kesedaran dan kefahaman mengenai kanser payudara metastatik.

Dianggarkan tiga daripada lima rakyat Malaysia tidak pernah mendengar mengenai kanser payudara metastatik manakala 62 peratus responden mempunyai fahaman yang tidak tepat bahawa kanser jenis ini boleh diubati.

PESAKIT kanser payudara metastatik, Hasra Azwanis Che Hashim dan suami Iznan Ismail. FOTO ihsan Hasra Azwanis
PESAKIT kanser payudara metastatik, Hasra Azwanis Che Hashim dan suami Iznan Ismail. FOTO ihsan Hasra Azwanis

Oleh itu, Pfizer komited menyokong pesakit mBC sepanjang rawatan mereka termasuk bantuan kewangan dan program EMBRACE dilancarkan bagi memberikan rawatan efektif kepada mereka yang memerlukan sekali gus menghidupkan peluang pesakit hidup dengan lebih produktif.

Pfizer menyediakan bantuan rawatan kepada pesakit mBC dengan memberi subsidi separuh kos ubatan seperti Palbociclib. Kos rawatan di luar program EMBRACE dianggarkan RM13,000 hingga RM15,000 sebulan dan pesakit di bawah program itu hanya perlu membayar 50 peratus daripada untuk rawatan berkenaan.

Sementara itu, Exco BCWA dan Profesor Emeritus Pembedahan Universiti Malaya, Datuk Dr Yip Cheng-Har berkata, sebenarnya ramai pesakit mampu meneruskan kehidupan untuk tempoh yang panjang, seperti orang lain dengan produktif walaupun disahkan menghidap kanser metastatik.

Katanya, kini terdapat pelbagai pendekatan dalam merawat mBC dan rawatan terkini juga diuji setiap hari.

“Perancangan rawatan adalah berbeza antara pesakit kerana setiap kanser payudara adalah unik.

Lebih penting adalah keyakinan pesakit terhadap kepelbagaian rawatan untuk kanser metastatik yang ditawarkan.

“Walaupun mBC tidak boleh disembuhkan, tujuan utama rawatan kanser payudara metastatik adalah bagi memperlahankan atau menghentikan tahap pertumbuhan kanser, sekali gus mengekalkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:00 AM