INDIVIDU mengalami NES makan banyak pada tengah malam.
INDIVIDU mengalami NES makan banyak pada tengah malam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TIDAK berasa lapar ketika siang, tetapi sebaliknya pada tengah malam.

Ini menyebabkan individu yang mengalami keadaan itu kebiasaannya akan makan banyak dengan penuh selera pada tengah malam.

Ada juga individu yang bangun tidur semata-mata mahu makan kerana kelaparan.

Mereka yang berada dalam situasi ini berkemungkinan mengalami gangguan makan iaitu sindrom makan malam (NES).

Individu yang mempunyai masalah ini selalunya percaya tindakan makan tengah malam boleh membantunya kembali tidur.

Selain itu, mereka yang mengalami NES juga dilihat mempunyai gangguan ritma sirkadian (ritma dalaman hidupan yang bergerak mengikut kitaran 24 jam sehari), proses biologi yang mengatur pola tidur dan makan berdasarkan kitaran semula jadi waktu siang serta malam.

Satu kajian menunjukkan mereka yang mengalami masalah NES mengambil 56 peratus kalori di antara jam 8 malam hingga jam 6 pagi.

Mereka yang tiada masalah itu pula hanya mengambil 15 peratus kalori pada tempoh masa sama.

Kajian lain mendedahkan, kira-kira tujuh hingga 25 peratus mereka yang mengalami NES mempunyai masalah gangguan makan dengan sebahagiannya menderita bulimia nervosa.

Punca sebenar yang menyebabkan NES masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan, masalah ini mempunyai kaitan dengan ketidakseimbangan hormon hingga mengganggu pola pemakanan individu.

Masalah NES juga boleh terjadi sebagai tindak balas kepada amalan berjaga dan makan lewat malam dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi.

MEMBUKA peti sejuk pada tengah malam untuk mencari makanan.
MEMBUKA peti sejuk pada tengah malam untuk mencari makanan.

Terapi kongnitif-kelakuan (CBT) adalah satu rawatan yang paling berkesan untuk merawat masalah gangguan makan.

Rawatan ini berjaya dilaksanakan dalam merawat masalah NES dan hanya satu kajian empirikal berjaya diterbitkan.

Kedua ialah rawatan psikologi yang merangkumi psiko pendidikan mengenai keadaan dan pemantauan diri untuk memahami gangguan serta faktor penyebab masalah berkenaan.

Ini akan membabitkan pengurangan tingkah laku diet. Intervensi tingkah laku biasanya berlaku kepada gangguan makan lain merangkumi perancangan dan penyusunan waktu makanan biasa.

Rawatan NES memberikan tumpuan khusus untuk mengubah pola makan dengan penekanan kepada pengambilan sarapan.

Tindakan ini perlu untuk menghentikan 'kitaran' sindrom makan tengah malam walaupun agak sukar untuk dilakukan memandangkan golongan itu tidak mempunyai selera makan waktu pagi.

Ia boleh dilakukan secara perlahan-lahan hingga boleh mengubah kepada pola pemakanan waktu pagi yang lebih teratur.

Rawatan lain untuk masalah NES ialah fototerapi (pendedahan cahaya) yang sama digunakan untuk merawat gangguan afektif bermusim (SAD).

Terapi cahaya terang ini dipercayai boleh mempengaruhi melatonin iaitu hormon yang membantu mengatur semula ritma sirkadian.

Kaedah rawatan terakhir ialah menggunakan ubat psikiatri yang paling banyak diteliti dalam merawat masalah berkenaan.

Antara ubat yang dikaji ialah 'selective serotonin reuptake inhibitors' termasuk 'paroxetine', 'fluvoxamine' dan 'sertraline'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:30 AM