MABUK hamil boleh menjejaskan ibu dari segi fizikal, emosi dan sosial.
MABUK hamil boleh menjejaskan ibu dari segi fizikal, emosi dan sosial.
Siti Nadirah Hafidzin


Berasa sakit, mual, tidak bermaya dan segalanya serba tidak kena pada pering­kat awal kehamilan adalah perkara biasa.

Kesannya berbeza untuk setiap individu, sesetengah wanita mengalami rasa loya apabila bangun pagi, sementara yang lain mungkin perlu bertahan beberapa minggu atau bulan dengan berasa loya dan hendak muntah bukan saja pada waktu pagi tetapi sepanjang hari.

Mabuk hamil boleh menjejaskan ibu dari segi fizikal, emosi dan sosial. Kehidupan normal anda akan berhenti seketika disebabkan tidak boleh menangani permintaan kerja, bersosial atau menjaga anak yang lain.

Langkah terbaik adalah dengan memaklumkan kepada keluarga bagaimana mereka boleh membantu antaranya dengan cara praktikal seperti membeli-belah, memasak, menjaga anak dan melakukan kerja rumah.

Ramai wanita perlu mengambil masa rehat bekerja disebabkan mabuk kehamilan yang teruk walaupun hakikatnya ramai ibu mungkin tidak mahu memberitahu individu lain mengenai kehamilan itu tetapi ia amat sukar.

Bilakah perlu berjumpa doktor?

Amat penting untuk berbincang dengan doktor lebih awal kerana rawatan akan menjadi sukar apabila mabuk kehamilan semakin teruk.

Anda perlu berjumpa doktor sebaik saja simptom itu menjejaskan kehidupan anda. Namun sesetengah pakar perubatan hanya akan menghiraukan muntah yang teruk kerana ini boleh membawa kepada komplikasi kepada anda dan bayi dan anda mungkin perlu berehat sehingga keadaan menjadi lebih baik.

Jika si ibu muntah banyak kali dalam sehari, tidak boleh makan atau minum tanpa muntah dan berat badan berkurangan, segeralah berjumpa doktor kerana mungkin terjadi nyahhidrat dan kekurangan nutrien.

Rawatan awal akan mencegah sakit yang lebih teruk atau dimasukkan ke hospital.

Apa yang saya perlu lakukan?

Si ibu perlu mengelak daripada sebarang makanan dan bauan yang membuat­kan perut memulas, untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan loya.

Antara perkara yang boleh dilakukan:

- Makan sedikit dan kerap. Perut yang kosong boleh menambah rasa loya. Kekalkan tahap dalam darah yang stabil dan cuba makan makanan kering dan hambar dalam jumlah sedikit sepanjang hari.

- Makan apa dan bila anda kehendaki, tetapi elakkan daripada makanan berlemak, berempah, berasid atau bergoreng. Ambil makanan yang kaya dengan protein dan vitamin B seperti yogurt. Makanan yang mudah dimakan dan dihadam seperti biskut juga boleh diambil.

- Simpan snek ringan seperti biskut tawar di sebelah katil anda. Luangkan sedikit masa untuk makan biskut itu pada waktu pagi dan berehat sebelum turun dari katil.

- Tulis di dalam diari bila anda berasa lebih teruk dan lebih baik. Selalunya terdapat pola harian dan terdapat waktu tertentu pada setiap hari untuk anda makan atau minum.

- Cuba minum di antara waktu makan terutama jika anda rasa sukar untuk minum tanpa muntah semula. Hadkan minuman semasa makan. Pastikan anda minum dengan kerap dan cuba kemam kiub ais jika anda muntah air.

- Dapatkan rehat yang secukupnya dan ambil masa rehat daripada bekerja jika perlu. Tekanan dan keletihan boleh membuatkan mabuk kehamilan lebih teruk.

- Hidu buah lemon atau limau. Bau sepotong buah lemon boleh mengurangkan loya. Tambahkan beberapa hiris buah lemon ke dalam teh ais.

- Minum teh halia. Sediakan teh halia menggunakan akar yang disagat atau ambil sirap halia atau pil. Halia baik untuk melegakan perut dan mengurangkan loya. Namun, halia perlu digunakan dalam kuantiti yang sederhana dan dengan berhati-hati. Ia juga tidak berkesan bagi sesetengah orang.

- Memakai gelang tangan ‘acupressure’ atau mabuk laut. Ia boleh didapati di farmasi dan kedai makanan kesihatan dan boleh mengurangkan loya dan muntah bagi sesetengah wanita.

- Vitamin B6 (piridoksina) atau multivitamin kehamilan boleh mengurangkan mabuk kehamilan. Jika anda mengambil vitamin semasa kehamilan, anda mungkin kurang mengalami simptom yang teruk. Periksa dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang makanan tambahan semasa kehamilan.

- Cuba terapi semula jadi. Aromaterapi (minyak limau nipis, lemon atau sitrus) atau homeopati boleh membantu anda tetapi jumpalah pengamal yang berpengalaman dalam merawat wanita hamil.

- Beritahu dan berbincang dengan seseorang yang memahami serta boleh membantu anda. Anda juga boleh berbual dengan ibu lain yang alami masalah kehamilan sama dengan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 5:28 AM