USIA meningkat antara risiko dementia apatah lagi mempunyai sejarah serangan strok.
USIA meningkat antara risiko dementia apatah lagi mempunyai sejarah serangan strok.
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN mempunyai latar belakang sebagai jururawat, Pengarah Program Golden Mediserve and Care Advancement Skills Training Dementia Awareness, Understanding & Challenges, Mimi Valenzuela menyifatkan menangani pesakit Alzheimer terutama ibu sendiri sangat mencabar.

Katanya, pesakit dementia boleh diterangkan sebagai kemampuan atau kapasiti mental yang merosot sehingga menjejaskan fungsi rutin harian.

Masalah sering dikaitkan dengan pesakit dementia ialah hilang daya ingatan dan selalunya Alzheimer antara penyakit tergolong dalam kumpulan masalah ini dan biasa ditemui dalam kebanyakan pesakit dementia.

Tambah Mimi, sebagai jururawat yang mempunyai kemahiran dalam menangani pesakit yang mengalami masalah dementia, apabila membabitkan ibu sendiri, tiada kompromi. Cabarannya lebih terasa. Dia memerlukan sokongan ahli keluarga lain serta masyarakat dalam membantu ibunya mengharungi penyakit berkenaan.

“Biarpun saya memiliki diploma kejururawatan dalam penjagaan warga emas, membantu ibu sendiri, Asuncion Enerio Valenzuela ketika dia menghidap penyakit Alzheimer adalah sesuatu yang sukar.

“Ibu saya waktu itu menetap di Amerika Syarikat dan pada usia 54 tahun dia didiagnosis menghidap gejala dementia disebabkan komplikasi serangan beberapa siri strok sebelum itu.

“Kesihatannya merosot sebaik dia kembali ke Filipina untuk bercuti bersama kakaknya hingga saya dan keluarga terpaksa mengupah jururawat peribadi menjaganya.

“Dementia dialaminya semakin teruk apabila dia mula merepek dan bercakap banyak perkara yang tidak masuk akal termasuk lupa nama saya dan ahli keluarga lain. Selain itu dia tidak ingat perkara penting iaitu alamat rumah serta di mana dia menyimpan kunci kereta.

“Hinggakan pada satu tahap dia menjadi agresif. Sikapnya yang tidak masuk akal termasuk menjerit sehingga kedengaran di luar pagar rumah dan menuduh ahli keluarga yang menjaganya ketika itu mendera serta tidak memberinya makan.

“Mujurlah jiran di kawasan perumahan ketika itu sudah mengenali kami sekeluarga dan memahami keadaan ibu. Jadi mereka tidak mempunyai persepsi negatif terhadap kami sekeluarga,” katanya.

MAKANAN protein baik boleh bantu mengurangkan risiko mengalami dementia.
MAKANAN protein baik boleh bantu mengurangkan risiko mengalami dementia.

Menyentuh mengenai penerimaan dia sekeluarga dengan keadaan ibu ketika itu, kata Mimi, ia adalah tempoh amat sukar buat mereka. Selama ini mereka hanya mendengar cerita atau bagi Mimi, dia melihat ibu atau bapa orang lain mengalaminya.

“Sepanjang tempoh ibu sakit, saya dan ahli keluarga sudah rasa ‘kehilangan’. Kami tahu dia ada tetapi hakikatnya dia ‘tiada’. Terutama apabila melihat riak atau wajah yang tidak mengenali siapa saya serta saudara yang lain. Kami sangat sedih melihatnya bertindak agresif, namun inilah hakikat yang perlu kami terima.

“Kesimpulannya bukan saja pesakit yang menghadapi perasaan keliru, takut dan tertekan, ahli keluarga serta penjaga juga tidak terkecuali.

“Justeru mereka perlu kuatkan mental dan sokongan sebelum menjaga pesakit dementia,” katanya yang ditemui dalam bengkel itu yang dihadiri seramai 58 peserta di Royal Selangor Club Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Doktor Panel Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia yang juga ahli exco Persatuan Dementia Perak, Prof Dr Esther Gunaseli M Ebenezer berkata, daya ingatan yang merosot selain kapasiti mental lain menyebabkan pesakit diselubungi perasaan keliru dan ketakutan keterlaluan.

Jadi ahli keluarga jangan berasa bimbang apabila pesakit bertindak agresif. Itu adalah naluri biasa kerana pesakit ingin melindungi diri daripada persekitaran dan individu yang ‘asing’ bagi mereka.

Punca sebenar yang boleh menyumbang kepada penyakit ini masih tidak dapat dipastikan dan banyak kajian dilakukan untuk mengenal pasti penyebab masalah ini.

Kata Dr Esther, kesimpulan didapati penyelidik atau pengkaji ketika ini ialah dementia berpunca daripada kerosakan sel-sel otak yang menjejaskan keupayaan sel ini berhubung antara satu sama lain.

“Secara tidak langsung ini mempengaruhi fungsi sel termasuk fikiran, tingkah laku dan emosi individu.

“Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kerosakan sel berkenaan antaranya komplikasi penyakit lain seperti strok, gaya hidup tidak sihat, peningkatan usia selain genetik.

“Namun ada beberapa faktor risiko untuk dementia yang tidak boleh diubah iaitu umur dan keturunan. Malah sehingga kini, pakar perubatan masih belum menemui penawar untuk penyakit ini, yang ada hanya kaedah menguruskan penyakit dementia menerusi pelbagai aspek terutama gaya hidup.

“Antara penemuan terkini dalam penyelidikan menerusi risiko yang lain ialah kesannya terhadap kesihatan otak dan mencegah dementia.

“Pakar membuat kesimpulan dengan prestasi kesihatan kardiovaskular yang optimum, kecergasan fizikal dan diet sihat dapat membantu memperlahankan proses kemerosotan kapasiti mental pesakit dementia.

“Ada beberapa cara untuk melindungi otak. Cara pertama ialah dengan beberapa strategi sama untuk melindungi jantung termasuk kawalan tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah berada pada aras yang dicadangkan dan mengekalkan berat badan yang sihat.

“Cara kedua ialah senaman jasmani kerana dipercayai ia dapat membantu mengurangkan risiko beberapa jenis dementia. Bukti menunjukkan senaman boleh terus memberi manfaat kepada sel-sel otak dengan bertambah baiknya aliran darah dan oksigen ke otak.

“Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dan maksimum dua jam bukan saja dapat memperbaiki keadaan jasmani malah mental kerana ia meningkatkan aktiviti dalam otak dengan baik.

“Cara ketiga membabitkan pilihan diet yang baik. Biasanya apabila membicarakan soal penjagaan makanan, kita lebih merujuk kesannya pemakanan tidak sihat terhadap kesihatan jantung, masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis tetapi sebenarnya ia juga penting untuk kesihatan otak. Diet yang baik untuk jantung turut memberi kesan positif kepada otak.

“Antara disarankan ialah diet Mediterranean kerana dipercayai dapat membantu meningkatkan fungsi sel-sel otak. Diet Mediterranean termasuk pengambilan sedikit daging merah dan menekankan amalan memakan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, kerang dan kacang, minyak zaitun dan lain-lain lemak sihat,” katanya.

PERLUKAN sokongan keluarga.
PERLUKAN sokongan keluarga.

Menyentuh mengenai cabaran dihadapi pesakit, kata Dr Esther, tidak ramai ahli keluarga mahupun penjaga memahami keadaan pesakit dementia.

“Disebabkan penyakit ini, tingkah laku dan sikap pesakit berubah sepenuhnya sehingga menyebabkan ahli keluarga tidak selesa bersama mereka.

“Keluarga perlu faham pesakit yang memberi reaksi seperti menuduh ahli keluarga mencuri duit atau mengambil barang, kadang- kala rasa diri dicederakan orang atau ada orang luar mahu menculik mereka bukanlah gejala normal.

“Sebaik-baiknya ahli keluarga memujuk dan tidak mengabaikan luahan pesakit kerana ketika itu mereka berada dalam situasi ‘menakutkan’. Pada masa sama dapatkan bantuan pakar dalam menangani pesakit agar penjaga tidak berasa tertekan.

“Seperti kami lakukan ketika ini di Pusat Dementia di Perak, kami memberi sokongan terhadap ahli keluarga selain pengisian sesuai dengan pesakit.

“Ketika ini kami berharap dapat lengkapkan fasiliti lebih baik termasuk asrama bagi menempatkan pesakit selain bangunan cafe untuk program lebih menyeluruh kepada lebih ramai pesakit,” katanya.

Manakala Pengasas Bersama Golden Mediserve and Care Services, Firtouz Abdullah berharap bengkel ini dapat mengubah persepsi penjaga dan keluarga mengenai pesakit dementia.

“Penjaga mahupun keluarga perlu didedahkan dengan skil menguruskan pesakit dementia kerana dengan ilmu dan kemahiran, mereka dapat membantu pesakit. Jadi penjaga mahupun keluarga tidak berasa tertekan kerana mereka faham dengan peranan serta tahu menangani situasi di luar jangkaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:03 AM