WARGA emas mendapatkan nasihat kesihatan di HCTM PPUKM.
WARGA emas mendapatkan nasihat kesihatan di HCTM PPUKM.
Noriza Sainal

Alzheimer, Parkinson dan dementia antara penyakit yang sinonim serta sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berusia seperti warga emas.

Dementia atau nyanyuk bermula dengan masalah kemurungan yang mungkin disebabkan tinggal berseorangan tanpa teman dan kurang interaksi sosial.

Pakar Geriatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Dr Hazlina Mahadzir ketika ditemui berkata, pergaulan yang bermula dengan ahli keluarga sebagai orang terdekat untuk berinteraksi perlu galakan antara kedua-dua pihak.

“Ahli keluarga sendiri perlu memainkan peranan untuk mengelakkan wujudnya jurang antara ahli keluarga terutama buat ibu bapa yang memerlukan sokongan.

“Apabila ibu bapa yang berusia 60 tahun ke atas banyak berinteraksi, minda akan lebih banyak berfikir berbanding tidak bergaul yang akan membawa kepada penyakit dementia.

“Gaya hidup sihat seperti pengambilan pemakanan dan aktif juga dapat mengurangkan berlakunya penyakit tua, yang mana amalan seperti ini akan berkesan jika diamalkan sejak umur pertengahan.

“Seperti yang sering terjadi, warga emas agak cerewet dalam pengambilan pemakanan mereka, ini kerana deria rasa semakin berkurang dan sensitif terhadap makanan ‘keras.

“Walaupun pemakanan untuk mereka perlu dikawal, ia perlu dipelbagaikan seperti pengambilan buah-buahan dan susu yang mampu memberi vitamin secara semula jadi, pada masa sama dapat menikmati kehidupan dengan gembira.

“Selain itu, aktiviti senaman turut digalakkan untuk golongan ini sekurang-kurangnya melakukan sedikit gerakan pada setiap hari seperti melipat kain dan memasukkan pakaian ke mesin basuh, yang secara tidak langsung membuat mereka berasa diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sambutan Hari Warga Emas ‘Meraikan Hak Asasi Warga Emas’ di HCTM PPUKM yang bermatlamat memupuk kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan warga emas secara menyeluruh dan pembabitan semua pihak, baru-baru ini.

Program dirasmikan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM PPUKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor itu dianjurkan Unit Neurologi, Jabatan Perubatan HCTM PPUKM.

Dr Hazlina berkata, kesihatan mental juga penting kerana apabila warga emas mengalami kemurungan, mereka tidak boleh melakukan apa pun, malah berisiko mengalami penyakit nyanyuk.

“Bukan itu saja, warga emas yang tinggal bersendirian berisiko mengalami kemalangan seperti terjatuh yang boleh mengakibatkan kecederaan serius seperti patah dan maut, bahkan boleh menjadi sasaran penjenayah kerana ketidakupayaan mereka.

“Kes warga emas terabai kerap ditemui di hospital membabitkan sekurang-kurangnya tiga kes sebulan, iaitu sebanyak 40 peratus Melayu dan selebihnya India, Cina serta lain-lain etnik,” katanya.

Beliau juga berkongsi pengalaman melihat jabatan kebajikan negara Barat menyediakan petugas ke rumah warga emas yang memerlukan bantuan untuk memeriksa keadaan mereka selain menghantar makanan setiap hari.

Prof Dr Abdul Halim dalam ucapannya menganggarkan 40 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan adalah warga emas dengan pelbagai penyakit seperti dementia dan Parkinson.

“Perkhidmatan fisioterapi, terapi pertuturan bahasa, dietetik, terapi cara kerja dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan sangat penting untuk warga emas atau geriatrik.

“Keprihatinan masyarakat terhadap warga emas perlu diutamakan supaya pengabaian tidak berlaku ke atas mereka,” katanya.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HCTM PPUKM, Suraiyah Harun berkata, beberapa pesakit warga emas yang menerima rawatan di situ bukan saja datang dengan sakit, juga membawa masalah psikososial seperti menghadapi masalah kewangan, tiada tempat tinggal serta waris untuk menjaga mereka.

Katanya terdapat banyak punca menyebabkan warga emas ini terabai, antaranya anak yang lepas tangan menjaga mereka, tiada waris dan keluarga lain seperti adik-beradik yang mempunyai komitmen masing-masing.

“Jabatan Kerja Sosial berperanan membantu mereka mencari tempat perlindungan yang selamat dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) swasta.

“Ada sesetengah keadaan yang mana warga emas tidak sesuai untuk tinggal bersama anak atau keluarga kerana dikhuatiri berisiko menjadi mangsa pengabaian,” katanya.

Walaupun institusi penjagaan warga emas di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO memainkan peranan membantu golongan yang tidak berpendapatan, warga emas terlantar dan tidak boleh menguruskan diri sendiri berbanding mereka yang sihat kurang mendapat bantuan.

Hal ini kerana kos untuk merawat warga emas yang terlantar adalah tinggi selain memerlukan kemahiran termasuk terapi khas untuk menjaga mereka.

Namun, warga emas mempunyai hak untuk menentukan di mana mereka mahu ditempatkan dengan mengambil kira sosiobudaya seperti amalan dan kepercayaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:15 AM