TAMPIL dengan single kedua selepas setahun menyepi.
TAMPIL dengan single kedua selepas setahun menyepi.
Zaara Talita


Nama band rock ini mungkin tidak segah band lain, namun kumpulan Madam percaya pada ketetapan rezeki.

Biarpun perjalanan kerjaya mereka lebih mengambil masa, namun tidak menghalang empat anak muda ini untuk terus berkarya.

"Kami masih lagi aktif berkarya dalam menghasilkan lagu-lagu rock yang bermutu. Biarpun tidak dikenali berbanding band-band lain, nama tidak menghalang kami untuk terus berkarya.

"Malah, kami juga masih lagi giat memperjuangkan muzik rock di bawah naungan label Rocketfuel Entertainment," kata Herman selaku pemain dram Madam.

Kumpulan Madam yang membawa maksud 'Men Of Another Day', Another Music' adalah band yang mempertaruhkan pelbagai jenis genre muzik.

Antara muzik yang diperjuangkan adalah rock moden dengan mengimbau kembali nostalgia band-band rock terkemuka.

Kumpulan yang dianggotai oleh empat pemuzik berbakat besar iaitu Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Fadhil (gitaris) selain Herman kini mempertaruhkan single terbaharu berjudul Merindu.

Naskhah hasil ciptaan mereka sepenuhnya dan diterbitkan Rocketfuel Entertainment.

"Idea di sebalik pembikinan lagu ini mula dirancang sekitar Mac tahun lalu, namun disebabkan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, hasrat itu tertangguh.

"Selepas beberapa tempoh, idea itu kembali disambung semula pada penghujung 2023," kata Putera.

Single ini mengisahkan mengenai rasa rindu yang amat mendalam akan kehadiran orang tersayang seperti merindui sentuhan dan suara seseorang yang jauh di mata namun dekat di hati.

MADAM pertaruh lagu Merindu.
MADAM pertaruh lagu Merindu.

Berkongsi lanjut mengenai single berkenaan, Azuan selaku pemain bass kumpulan itu diadun menjadi naskhah yang sempurna.

"Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk menghasilkan single Merindu ini, ia termasuk proses penulisan, adun campur muzik sehingga menjadi sebuah karya yang sempurna.

"Lagu Merindu masih mengekalkan irama rock namun ada elemen pop yang lebih moden, supaya lebih mudah diterima pendengar selepas lebih dari setahun kami tidak hadir dengan single baharu," katanya.

Selain single, video muzik (MV) Merindu turut dilancarkan dengan jalan cerita yang tidak terlalu berat, cukup sekadar menunjukkan perasaan seseorang apabila merindu kekasihnya, pasti terkenang memori indah bersama.

"Kami berharap pendengar dapat mengenali band kami dengan lebih lagi kerana lagu ini merupakan ciptaan kami yang kedua selepas single Nona lebih setahun lalu.

"Terima kasih buat semua peminat yang terus menyokong dan menanti karya terbaharu kami, semoga kami kekal di dalam industri muzik sehingga hujung nafas kami," kata Fadhil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 6:40 AM