AMY tetap unggul sebagai legenda rock tanah air.
AMY tetap unggul sebagai legenda rock tanah air.
Farihad Shalla Mahmud


BIARPUN bertembung Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, minggu lalu, Konsert Search Fantasia Bulan Salju di Arena Of Stars, Genting Highlands, menarik lebih 4,000 peminat setia kumpulan rock legenda itu.

Sambutan hangat itu membuktikan kewibawaan jenama Search yang ditunjangi Datuk Amy selaku penyanyi, Hillary Ang (gitar), Nasir (bass) dan Man Keedal (gitar) masih kukuh dan relevan hingga hari ini.

Membuka tirai konsert tepat jam 8.45 malam, penonton disajikan dengan alunan muzik padang pasir yang menterjemah pengembaraan Search bersama peminat sejak empat dekad lalu.

Tampil bergaya dengan sut merah, Amy memukau peminat dengan himpunan lagu rancak seperti Bencana, Derap Komando dan Langit & Bumi.

Ruang konsert kemudian bergema dengan lagu Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu yang mana peminat bernyanyi bersama lantas larut dalam emosi dicipta band berasal dari Johor Bahru itu.

MAN Keedal bersama Nasir.
MAN Keedal bersama Nasir.

Lebih menarik apabila 'salju' mula menyelimuti khalayak mengiringi untaian romantis yang didendangkan.

Secara tidak langsung, pengalaman menarik itu menterjemahkan makna sebenar judul konsert dibawakan khas MIC Entertainment Group itu, iaitu Fantasia Musim Salju.

Antara lagu slow rock yang turut dipersembahkan Search adalah Rozana, Laila Nama Mu Teratas, Nigina, Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Kejora dan lagu wajib, Isabella.

Sekali lagi gema vokal hadirin bersatu dengan vokal Amy. Ini membuktikan peminat yang rata-rata berusia dalam kelompok 40-an hingga 60-an sudah cukup bersedia dengan seleksi lagu Search yang sentiasa meniti di bibir.

Selain menampilkan Arthur Kam sebagai pemain dram jemputan, Konsert Search Fantasia Bulan Salju juga memberi ujian tersendiri buat Naimi Daini.

‘SALJU’ turun di Konsert Fantasia Bulan Salju.
‘SALJU’ turun di Konsert Fantasia Bulan Salju.

Naimi sebelum ini pernah mengejutkan peminat setia Search apabila mempamerkan ketukan dram yang sangat bertenaga ketika menjayakan konsert berskala besar pertamanya bersama kumpulan rock itu di Nusafest, bulan lalu.

Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi 'battle' cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi keyboard, komited dengan instrumen masing-masing.

Tidak perlu aksi 'luar biasa' kerana mereka punya kredibiliti, energi cukup pesona serta aura tersendiri seperti yang ada pada band rock legenda antarabangsa sedia ada.

Tirai konsert berdurasi 180 minit ini dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena, sekali gus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara konsert berprestij.

Selain itu, acara di Genting Highlands melakar sejarah peribadi buat Search apabila muncul kumpulan rock tempatan pertama mementaskan konsert di pusat peranginan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 6:09 AM