GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Syarikat berkait Kerajaan Persekutuan, i2M Ventures Sdn Bhd (i2M Ventures) tidak mencapai objektif untuk mempromosi, memasar dan menguruskan perniagaan di Wilayah Iskandar Puteri, Johor mengikut mandat ditetapkan kerajaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diterbitkan hari ini, kedudukan kewangan i2M Ventures yang diperbadankan sejak 9 April 2012 adalah kurang stabil.

Syarikat terbabit tidak menjana pendapatan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada Khazanah Nasional Berhad.

Berdasarkan laporan itu, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi program Perkhidmatan Perniagaan Global Iskandar (GBS Iskandar) adalah kurang memuaskan.

Bagaimanapun, impak program terbabit adalah memuaskan dengan sebanyak 6,518 peluang pekerjaan diwujudkan oleh 30 pelabur, manakala jumlah pelaburan komited adalah sebanyak RM2.667 bilion.

Pencapaian KPI pelabur GBS Iskandar yang perjanjiannya masih berkuat kuasa menyaksikan enam pelabur mencapai sasaran dan lapan lagi masih aktif serta beroperasi di Iskandar Puteri dengan pencapaian sebenar antara 12.5 hingga 322.6 peratus.

Bagi pencapaian KPI pelabur yang perjanjiannya sudah tamat, dua daripada 18 pelabur berjaya mencapai KPI lebih 100 peratus, tiga pelabur langsung mencapai sasaran, manakala 13 pelabur lain mencapai sasara antara 5.5 hingga 91.7 peratus.

LKAN turut mendapati tiga daripada lima elemen tadbir urus korporat tidak diamalkan sepenuhnya iaitu Lembaga Pengarah, Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat dan Pelan Strategik serta KPI.

Justeru, LKAN mengesyorkan usaha mempromosi Wilayah Iskandar Puteri dipergiatkan bagi memastikan KPI program GBS Iskandar dapat dicapai.

KPI pelabur GBS Iskandar juga perlu dipantau seterusnya menyalurkan dana kepada pelabur yang masih aktif, manakala amalan tadbir urus korporat dalam aspek penyediaan SOP pembayaran insentif kepada pelabur, perlu dimantapkan.

Kerajaan juga disyorkan untuk mengkaji semua sama ada kewujudan i2M Ventures masih relevan atau sebaliknya selepas syarikat itu melunaskan semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur GBS Iskandar pada 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:20 PM