AWIE masih mantap dengan suaranya yang memukau.
AWIE masih mantap dengan suaranya yang memukau.
Ridzuan Abdul Rahman


BAIK Search mahupun Wings, kedua-duanya sama hebat dan mempunyai tarikan tersendiri dalam menghiburkan peminat.

Itu kesimpulan yang dibuat apabila menyaksikan persembahan dua kumpulan legenda yang beraksi dalam Festival Nusafest 2023 di Bandar Malaysia, Sungei Besi pada 8 Julai lalu.

Diletakkan sebagai dua kumpulan terakhir di pentas Nusafest yang beberapa kali tertunda, kehadiran mereka jelas menjadi tarikan festival yang menghimpunkan pemuzik tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura ini.

Festival selama dua hari pada 8 dan 9 Julai lalu itu digarap dengan menampilkan genre muzik berbeza antaranya rock, ska, rap, grunge, metal, metalcore dan reggae.

Dua kumpulan legenda ini pula diberi penghormatan beraksi pada malam pertama dan ia satu penghormatan besar terhadap jasa mereka menggerakkan genre rock di negara kita.

Biarpun awalnya dihiburkan dengan barisan pemuzik muda antaranya Efek Rumah Kaca dan Burgerkill, penonton tetap sabar menanti persembahan Search dan Wings.

Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Search yang diterajui Datuk Amy, Man Keedal, Hilary Ang dan Nasir tampil atas pentas.

Kelibat mereka mungkin biasa dilihat atas pentas, namun wajah polos Naimi Daini yang baru berusia 17 tahun sebagai pemain dram tentunya menimbulkan keterujaan penonton.

AMY berjaya menampilkan persembahan yang baik.
AMY berjaya menampilkan persembahan yang baik.

Ada yang mungkin ragu-ragu dengan keupayaannya menyaingi anggota Search yang berpangkat bapa kepadanya, tetapi Naimi membuktikan dia adalah permata yang bakal menyinar.

Stamina dan konsistensinya bermain dram dengan hentakan 'double paddle' yang cukup padu selari dengan melodi dan muzik yang dipersembahkan menerima tepukan gemuruh peminat.

Search menghiburkan peminat dengan lagu seperti Diari Habil dan Qabil, Gothik Malam Edan, Isi atau Kulit, Cakap Memang Murah, Rozana, Isabella, Paranoid, Pelesit Kota dan Pawana.

Kredit perlu diberikan kepada Amy yang berusaha memberikan yang terbaik buat peminat. Dia membuktikan persembahannya masih berbisa.

Nusafest seakan-akan memberi nyawa buat Search untuk terus kekal relevan pada paksi muziknya. Kredibiliti Search tidak harus terus diperlekehkan. Mereka tetap gah dengan genre rock n roll.

Usai persembahan Search, peminat berganjak pula ke pentas sebelah untuk menyaksikan persembahan Wings sebagai kumpulan penutup konsert.

Aksi lincah Datuk Awie, Eddie, Black, Sham dan Edrie sudah cukup menggambarkan kehebatan yang bakal ditampilkan.

Lagu Romania dipilih sebagai pemanas pentas dan diikuti Opera Hidup, Jumpa Hilang dan Bujang Senang di terjemahkan dalam gaya tersendiri Wings.

NAIMI menarik perhatian dengan ketukan drumnya yang padu dan mantap.
NAIMI menarik perhatian dengan ketukan drumnya yang padu dan mantap.

Selain aksi dan muzik, persembahan Wings turut dimeriahkan dengan video mapping yang memberikan aura dan jiwa kepada khalayak untuk menikmati karya.

Awie berterima kasih kepada penganjur Nusafest kerana memberikan platform ini kepada Wings dan kepada band lain.

"Semoga acara Nusafest ini akan terus dianjurkan di tapak ini dan menjadi jenama yang terus unggul. Dalam kita bergembira pasti ada duka, Eddie yang baru sahaja kehilangan isteri tercintanya.

"Begitu juga Bella, namun sikap profesional yang ditunjukkan dan komitmen yang jitu daripada mereka, saya ucapkan terima kasih," katanya memulakan komunikasi dengan peminat.

Harapan yang tersenarai sebagai salah satu lagu dalam persembahan mereka, diabadikan oleh Awie sebagai ingatan untuk Allahyarham isteri Eddie iaitu Norlela Mohd Yusof, 61, yang meninggal dunia di Hospital Ampang jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

"Saya tak boleh cakap...sedihlah. Kita jangan cakaplah. Kita nyanyilah... Dendangkan Harapan untuk Eddie," katanya disambut tepukan bergemuruh penonton.

Persembahan diteruskan dengan lagu Dalam Kehadiran Sofiah dalam versi penuh bertenaga dari Awie.

Keadaan kembali bersemarak selepas itu apabila lagu popular era 90-an mereka iaitu Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari dan Peronda Jaket Biru dinyanyikan Awie.

Seperti biasa lagu berhantu Wings iaitu Sejati dipilih sebagai penutup tirai persembahan, sekali gus membuat peminat meninggalkan konsert dengan kepuasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 6:00 AM