NAIMI. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
NAIMI. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pemain dram remaja, Naimi Daini, 17, menganggap satu penghargaan bermakna buat dirinya apabila vokalis Search, Datuk Amy menyatakan cara bermain dram dipersembahkan ada sedikit persamaan dengan Allahyarham Yazit Ahmad.

Terdahulu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 65, mengeluarkan kenyataan itu ketika ditemui media pada majlis pelancaran acara festival muzik di Subang Jaya, baru-baru ini.

Naimi berkata, apa yang pasti dia tidak menyangka mendapat peluang bergabung sebagai pemain dram 'sessionist' atau undangan berstatus tetap bersama kumpulan rock legenda seperti Search.

"Saya memang 'happy' (gembira) dapat peluang bermain dram dengan Search dan ia pengalaman yang terbaik untuk saya.

"Alhamdulillah, saya juga anggap ia satu 'compliment' (penghargaan) bermakna daripada 'uncle' Amy yang melihat cara saya bermain (dram) ada sedikit persamaaan dengan Allahyarham 'uncle' Yazit

"Apapun, saya masih baru bersama Search dan masih banyak lagi mengenai muzik yang perlu dipelajari, termasuk memahami lagu-lagu Search," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Konsert Hausboom Music 2023 di ibu kota, semalam.

Naimi hadir bersama anggota Search iaitu Amy, Nasir Daud selaku pemain gitar bass, Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) yang turut menyertai konsert itu yang berlangsung pada 9 dan 10 September depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ditanya juga mengenai penemuan bakatnya oleh Hillary, gadis yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini berkata, Hillary menonton videonya bermain dram di YouTube.

"Daddy Hillary tengok video saya di YouTube dan terus cari serta hubungi saya untuk bertanya sama ada berminat bermain dengan Search. Apabila saya bersetuju, saya diberikan dua lagu Search untuk dipelajari sebagai uji bakat.

"Saya mendapat lagu Dairi Habil & Qabil serta Pelesit Kota untuk dimainkan. Saya tak pernah pun dengar lagu-lagu Search sebelum itu, tapi saya memang minat bermain dram," katanya.

Naimi berkata, dia bersyukur Search menyukai dan menerima baik hasil rakaman video dibuatnya untuk sesi uji bakat itu. Katanya dia juga okay dan selesa bergabung dengan Search yang sememangnya legenda dan berpengalaman luas.

Terdahulu, Naimi muncul buat kali pertama beraksi bersama Search di pentas besar di Konsert Nusafest 2023 di Bandar Malaysia, pada 8 Julai lalu yang berjaya menarik perhatian ramai.

Pada penampilan julung kalinya itu yang masih 'amatur', Naimi muncul beraksi memainkan lapan lagu bersama Search yang membuatkan penonton sangat terhibur pada malam itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 11:17 AM