Ridzuan Abdul Rahman


Sekali lagi Istana Budaya, Kuala Lumpur menjadi saksi kehebatan kumpulan legenda Search sebagai pelopor genre muzik rock tanah air.

Pentas berprestij ini membuktikan Datuk Amy (penyanyi), Nasir (bass), Hillary (gitar), Man Kidal (gitar) dan dibantu Ujang Exists sebagai pemain dram masih bertaring dan sukar digugat kumpulan lain.

Bertapak sejak empat dekad dalam industri muzik adalah satu kelebihan buat mereka menjayakan konsert Search Rock On 40 (The Legends) yang berlangsung, baru-baru ini.

Nama Search masih gah serta mampu menarik penonton dan buktinya hampir semua tempat duduk di Istana Budaya dipenuhi peminat.

Mereka terhibur dengan persembahan padu Search yang berlangsung selama dua jam itu.

SEARCH berjaya memberikan persembahan maksima buat peminat yang hadir.
SEARCH berjaya memberikan persembahan maksima buat peminat yang hadir.

Keterujaan dan keinginan semua untuk melihat aksi Amy dan anggota Search terlerai apabila mereka muncul membuka tirai dengan lagu Gelora Cintaku, Balada Pemuzik Jalanan dan Pelesit Kota yang sememangnya sinonim dengan peminat Search.

Ia diteruskan lagi dengan medley Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku dan Kejora. Panggung Sari Istana Budaya secara automatik bertukar menjadi pentas karaoke terbesar apabila penonton turut sama menyanyi.

Lagu-lagu lain yang turut ditampilkan mereka ialah Melayar Bahtera, Nigina, Rozana, Cakap Memang Murah, Isabella, Fantasia Bulan Madu dan Laila Namamu Teratas.

Atas permintaan peminat, Amy memilih menyanyikan lagu Tiada Lagi sebagai lagu bonus pada malam itu.

Untuk mengulas mengenai persembahan Nasir, Hillary dan Man Kidal, kehebatan mereka sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana status sebagai pemuzik berpengalaman dan profesional.

Manakala Amy pula, pada usia 64 tahun sekarang, ramai yang hadir bersetuju yang persembahannya hebat tenaganya masih mantap.

Alunan vokalnya masih bertenaga semasa mendendangkan lagu-lagu Search yang dikenali bernada tinggi selama lebih dua jam tanpa henti.

Komunikasinya bersama peminat tetap lancar. Malah dia sering diusik dengan perkataan yang sinonim dengannya iaitu 'pewiitt' oleh penonton.

Selain penguasaan pentas, konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd ini turut menonjolkan gaya dan persembahan penuh karisma Search yang dikenali dengan ikon fesyen suatu ketika dulu.

Rangkaian lagu seperti menggamit kenangan seawal kemunculan mereka bersama album Cinta Buatan Malaysia pada 1985 sehinggalah album Gothik Malam Edan. Namun, mereka tidak membawakan lagu-lagu dari album terbaru, Katharsis mungkin dek kerana kekangan masa dan alasan lain.

Mengotakan janji mereka sebelum ini, Search juga tampil mendendangkan lagu-lagu yang pernah mereka bawakan sewaktu beraksi di kelab Red Rooster sebelum bergelar artis rakaman.

Lagu Mr Crowley (Ozzy Osbourne), Stairway To Heaven (Led Zeppelin) / Profession Off dan Bark At The Moon (Ozzy Osbourne) bergema malam itu yang dibawakan Amy dengan cara tersendiri.

AKSI tersendiri Amy.
AKSI tersendiri Amy.

Apapun, persembahan terakhir Amy menerusi lagu Tiada Lagi dianggap istimewa dan meninggalkan kesan apabila dia menjemput anaknya Nabila Huda dan Shasha (Irisha Myra) untuk bersamanya di atas pentas.

Peminat bersorak gembira melihat kedua-dua mereka dapat bersama Amy pada konsert yang berjaya melakar sejarah baru dalam kariernya ini.

Walau apapun pandangan negatif segelintir pihak, tidak keterlaluan dikatakan Amy adalah kesayangan pengikut industri seni tanah air sampai bila-bila.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 6:00 AM