AMY (dua dari kanan) dan Nasir (kanan) kini bergabung bersama Hillary Ang (kiri) dan Man Kidal.
AMY (dua dari kanan) dan Nasir (kanan) kini bergabung bersama Hillary Ang (kiri) dan Man Kidal.
Riadz Radzi


Jika ada anugerah Kumpulan Rock Paling Banyak Kontroversi, boleh jadi ia adalah milik Search - kumpulan rock nombor satu dan paling popular tanah air.

Sejak era kegemilangan mereka bermula pertengahan 1980-an, Search tidak sunyi daripada kontroversi. Malah, ketika artikel ini ditulis, Search masih berdepan kontroversi yang seperti tak berkesudahan.

Apa yang menarik, ketika ini seolah-olah sudah ada dua Search pula.

Yang pertama Search yang dianggotai pemain gitarnya, Noordin dan Kid, manakala yang kedua dianggotai pemain bass, Nasir Daud bersama bekas penyanyi mereka, Amy. Mereka turut disertai dua pemain gitar yang pernah bersama Search iaitu Man Kidal dan Hillary Ang.

Kumpulan ini juga dalam proses rakaman menyiapkan single terbaharu mereka.

Lebih menarik, Noordin dan Kid juga dikatakan bakal disertai pemain bass yang juga pernah bersama Search iaitu Yan, selain masih mengekalkan khidmat pemain dram undangan, Pae.

Mereka juga bakal tampil dengan 'boxset' yang mengandungi lagu-lagu koleksi Search pilihan Noordin dan Kid serta 17 barangan istimewa untuk peminat.

Noordin dan Kid juga bakal meneruskan Konsert Bikin Wilayah yang tertangguh sebelum ini bersama Awie sebagai penyanyi, Yan (bass) dan Pae (dram).

Jadi, yang mana satu Search yang sebenar?

Pada Mac tahun lalu, Amy mengumumkan dia berundur daripada Search. Maka dari segi zahir dan logiknya, Amy bukan lagi anggota Search.

NOORDIN bakal meneruskan Konsert Bikin Wilayah yang tertangguh.
NOORDIN bakal meneruskan Konsert Bikin Wilayah yang tertangguh.

Noordin dan Kid pula tidak pernah berkata mereka sudah meninggalkan Search. Begitu juga dengan Nasir yang masih bersama Search, tetapi membuat keputusan 'menyertai' Amy.

Mereka kemudian disertai Man Kidal dan Hillary. Walaupun tidak memaklumkan nama kumpulan special project itu, tetapi Nasir dan Amy dalam temu bual bersama media dan hantaran di media sosial memberi bayangan mereka adalah Search.

Dalam masa sama, Noordin dan Kid seolah-olah sudah 'dibuang' daripada Search walaupun hakikatnya mereka masih lagi anggota Search!

Peminat Search pun pening!

Berdasarkan tinjauan di media sosial, ramai peminat dilihat menghentam Amy dan Nasir serta lebih memihak kepada Noordin dan Kid.

Dalam masa sama, ramai juga bersetuju dengan tindakan Amy dan Nasir bergabung kembali dengan Man Kidal dan Hillary yang juga nama yang besar dalam kalangan peminat Search.

Berdasarkan reputasi dan populariti, nama Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary sudah cukup besar sekali gus mudah untuk menarik peminat rock.

Bagaimanapun, apa yang berlaku ini sedikit-sebanyak turut merosakkan nama Search. Paling jelas ialah peminat Search sudah terbahagi kepada dua. Satu yang menyokong Noordin dan Kid, satu lagi menyokong Amy dan Nasir.

'Peperangan' kini bukan saja membabitkan empat individu itu, tetapi juga dalam kalangan peminat di media sosial. Masing-masing mempertahankan pihak yang mereka sokong. Kata-kata carutan, makian dan hinaan sudah terlalu biasa di media sosial.

Kronologi kontroversi Search bermula selepas Amy mengumumkan dia berundur daripada Search pada Mac tahun lalu.

Difahamkan, ketika itu wujud perselisihan faham di antara Amy dan Nasir.

Bagaimanapun, kemuncak kepada kontroversi ini ialah apabila Nasir, Amy dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad mendakwa pemilik syarikat Home of Champions, Mozylir Mokhtaruddin, Noordin dan Kid menggunakan nama Search untuk mengaut keuntungan tanpa kebenaran mereka.

Maka, selepas itu bermulalah 'perang' kenyataan di antara mereka sama ada di media arus perdana dan media sosial.

Sebagai kumpulan rock yang gah, ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak tahu apa akan berlaku seterusnya.

Buat masa ini, untuk mengharapkan Amy, Nasir, Noordin dan Kid bergabung kembali seperti misi mustahil.

Namun, mana tahu suatu hari nanti akan ada yang berubah. Ketika usia masing-masih sudah melewati separuh abad, mungkin hati boleh lembut kembali.


Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:00 AM