NAIMI mampu pergi lebih jauh.
NAIMI mampu pergi lebih jauh.

KONSERT Nusafest 2023 di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur minggu lalu bukan saja menarik kerana menampilkan banyak band dengan pelbagai genre, tetapi dengan kemunculan gadis berusia 17 tahun, Naimi Daini yang bermain dram untuk persembahan Search pada malam pertama konsert itu, Sabtu lalu.

Dalam usia semuda itu, bermain dram untuk kumpulan rock nombor satu negara tentu pencapaian paling membanggakan.

Naimi yang tampil bersama Datuk Amy (penyanyi), Nasir Daud (bass), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) membuktikan kehebatannya dengan memainkan lapan lagu pada malam itu.

Stamina dan konsistensinya bermain dram dengan hentakan 'double paddle' yang cukup padu selari dengan melodi dan muzik yang dipersembahkan menerima tepukan gemuruh peminat.

Ramai beranggapan Naimi mampu menjadi pelapis pemuzik terbaik negara sekiranya terus mendapat peluang beraksi dengan kumpulan rock hebat seperti Search.

Menurut Amy, cara permainan dram Naimi ada sedikit persamaan dengan pemain dram Search sebelum ini, Allahyarham Yazit Ahmad.

"Saya melihat bakat Naimi amat istimewa. Pada saya, ramai saja orang yang boleh main dram, tapi untuk dia ada 'sesuatu' menarik dalam teknik permainannya yang bertenaga, penuh semangat dan ada jiwa seni itu.

"Dia pun 'steady' saja main tiga lagu 'fast' tanpa nampak penat dan pancit. Jadi, dari situ saya lihat memang ada sedikit sentuhan arwah Yazit pada Naimi. Walaupun berbeza, tapi dia ada ciri-ciri orang berdarah seni.

"Dia bukan hanya 'drummer', tapi dia ada jiwa seni itu. Dia sangat muda, namun saya suka dengan cara dia main dram. Walaupun kita perlu beri dia masa lama lagi untuk selesa, tapi paling utama tiada tekanan dirasakan dengan membawa Naimi ke lokasi persembahan tertentu saja," katanya.

Sementara itu, Nasir berkata, buat masa sekarang, Naimi pemain dram undangan berstatus tetap dengan Search selain seorang lagi pemain drama berbakat iaitu Arthur.

"Memandangkan perjalanan Naimi masih jauh dengan usia muda, maka kami beri ruang dan peluang kepadanya untuk bersama-sama di setiap persembahan kami untuk 'menggali' pengalaman lebih luas," katanya.

Menurut Nasir, pada masa sama Search menghormati status Naimi yang masih belajar di tingkatan lima dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Kami tidak mahu dia berasa tertekan dengan jadual Search nanti. Malah, kami beri masa kepada Naimi untuk menghabiskan pelajarannya sebelum diserap sebagai pemain dram kekal Search," katanya.

Dalam konsert itu, Naimi tampil dengan ketukan padu memainkan lagu-lagu Search seperti Diari Habil & Qabil, Gothik Malam Edan, Isi Atau Kulit, Cakap Memang Murah, Paranoid, Pelesit Kota, Pawana dan medley Rozana / Isabella.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 6:30 AM