WAN Kuzain bersama bekas kelabnya, Sporting Kansas City.
WAN Kuzain bersama bekas kelabnya, Sporting Kansas City.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Status kepulangan bintang bola sepak St Louis City 2 (STL2), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya masih 'tergantung'.

Perkara itu dinyatakan bapanya, Wan Ahmad Kamal yang tidak dapat mengesahkan perkara itu memandangkan sudah empat bulan tidak menemui Wan Kuzain yang sedang beraksi bersama STL2 dalam saingan MLS Next Pro musim 2024.

"Maaf saya tak boleh nak sahkan kerana kami sendiri tidak sempat berjumpanya hampir empat bulan," katanya kepada Arena Metro.

Wan Kuzain, 25, antara pemain berbakat di luar negara yang memiliki darah Malaysia dan berpotensi untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa seperti tonggak kacukan, Dion Cools yang berpengkalan di Belgium.

Namun isu kerakyatan dianggap halangan terbesar Wan Kuzain untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan apabila dia turut memegang pasport Amerika Syarikat (AS) selepas lahir dan dibesarkan di negara Uncle Sam itu.

Terdahulu, tular di laman sosial pengakuan abang tirinya yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal memaklumkan adiknya sudah bersedia untuk melepaskan status kerakyatan AS.

Wan Kuzain sebelum ini pernah menyertai latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk kempen Sukan Sea pada 2019.

Begitupun namanya terpaksa digugurkan ekoran isu kerakyatan dan sehingga kini masih belum membuat mana-mana penampilan di peringkat antarabangsa sama ada bersama Malaysia mahupun AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:23 PM