Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP
Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyifatkan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibuat secara terburu-buru tanpa memanggil semua pemegang taruh berkaitannya termasuk pengamal perubatan klinik swasta.

Presidennya Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, perlu diberi perhatian bahawa klinik swasta sudah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memberikan rawatan kepada bekas penagih dadah.

Menurutnya, rawatan melalui penggunaan methadone dilihat amat berkesan dibandingkan memenjarakan bekas penagih yang secara statistik 80 peratus penagih akan kembali ke kehidupan penagihan setelah keluar penjara.

"Ini jelas menunjukkan, hukuman penjara tidak akan menyelesaikan masalah penagihan. Secara statistik, sebaik sahaja bekas penagih dibebaskan dari penjara, lapan dari 10 orang akan kembali menjadi penagih.

"Secara perbandingan, keberkesanan rawatan diberikan oleh klinik swasta berjaya menurunkan insiden HIV/Aids di negara ini dan paling berkesan memastikan bekas penagih ini boleh kembali ke kehidupan sedia kala yang normal.

"Rawatan secara berterusan di klinik swasta bukan hanya untuk mendapatkan pengubatan tetapi juga boleh dibantu dengan sesi kaunseling oleh doktor bertauliah di klinik swasta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Perdim melihat adanya kelemahan-kelemahan dalam pindaan rang undang-undang berkaitan di mana termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepatutnya tidak boleh diberikan kuasa mutlak untuk mendiagnosis pesakit.

Katanya, ujian urin semata-mata tidak boleh dijadikan kriteria utama pesakit/penagih adalah penagih tegar.

Dr Boi Saidi berkata, harus diingat, ada beberapa ubat analgesic/tahan sakit pun boleh memberikan keputusan urin positif dadah.

"Perdim juga membantah apabila semua penagih akan dihantar ke AADK dan rawatan adalah ditentukan oleh pihak AADK.

"Cadangan Perdim adalah, pihak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan perlu mengenalpasti pemegang taruh dalam isu ini.

"Memberikan tanggungjawab besar kepada AADK adalah satu kesilapan yang sangat serius. Apabila kita bercakap mengenai rawatan kepada bekas penagih, orang yang paling penting dalam menentukan rawatan adalah pihak doktor," katanya.

Menurutnya, pembabitan pihak doktor adalah sangat penting dalam menentukan apakah pesakit atau penagih itu benar-benar penagih tegar atau hanya perlu dirawat secara kaunseling sahaja.

Beliau berkata, doktor juga perlu memantau rawatan yang akan diberikan secara berkala dan penggunaan ubatan seperti methadone adalah di bawah seliaan doktor.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu berkolaborasi bersama pihak klinik swasta untuk memastikan pindaan ini memberikan impak yang positif kepada penagih/pesakit.

"Suatu kesalahan etika apabila diagnosis penagih hanya bergantung kepada pemeriksaan urin semata-mata tanpa ada sesi pemeriksaan oleh doktor yang berpengalaman..

"Perdim sentiasa melihat bekas penagih ini sebagai pesakit dan bukan penjenayah, rawatan yang perlu diberikan adalah rawatan daripada seorang doktor bukan rawatan oleh seorang pegawai AADK," katanya.

Beliau berkata, peranan AADK yang terbaiknya adalah mencari penagih/pesakit dan menyerahkan mereka kepada klinik untuk tujuan saringan oleh doktor.

Katanya, AADK juga boleh membantu memantau pesakit dalam rawatan dengan melakukan pemeriksaan ke tempat kerja dan kepatuhan menerima rawatan.

"Perdim berharap KDN dapat melakukan sesi perjumpaan dengan pemegang taruh sebelum undang-undang ini digubal.

Perdim turut membantah undang-undang yang mewajibkan klinik swasta memberikan nama pesakitnya ke pihak AADK sebab keadaan ini hanya akan menyebabkan satu stigma di mana pesakit merasakan tidak bebas mendapatkan rawatan.

"Klinik swasta tidak perlu melaporkan data sulit pesakit kepda AADK kerana rawatan pesakit di klinik swasta sudah dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dr Boi Saidi berkata, pemberian data pesakit kepada AADK akan menyebabkan pesakit kurang berminat untuk mendapatkan rawatan ke klinik swasta.

Justeru, katanya, apa yang Perdim cadangkan adalah pihak AADK dan NGO mewakili klinik swasta berkongsi data untuk tujuan melihat keberhasilan program rawatan di klinik swasta.

RUU dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin yang antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:23 PM