Lagu klasik kanak-kanak bangau, oh, bangau sinonim dengan hidup kita sekarang ni.
Lagu klasik kanak-kanak bangau, oh, bangau sinonim dengan hidup kita sekarang ni.
Rencana

Bangau, oh, bangau, kenapa engkau kurus? Macam mana aku tak kurus, ikan tak nak timbul, ikan tak nak timbul. Ikan oh, ikan, kenapa kau tak timbul? Macam mana aku tak timbul, rumput panjang sangat, rumput panjang sangat. Rumput oh rumput, kenapa engkau panjang? Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku, kerbau tak makan aku. Kerbau oh, kerbau, kenapa tak makan rumput? Macam mana aku tak makan, perut aku sakit, Perut aku sakit.'

Begitulah seterusnya sehinggalah kepada 'Ular, oh, ular, kenapa nak makan katak? Macam mana aku tak makan, memang makanan aku, memang makanan aku.'

Lagu klasik kanak-kanak itu sinonim dengan hidup kita sekarang ni. Mengapa penulis menggunakan lagu itu dalam penulisan kali ini, bukanlah niat penulis mahu mengajak pembaca menyanyi bersama-sama. Jika kita lihat bait dalam lagu itu akan menuding jari mencari alasan bagi menyanggah sesuatu perkara sehinggalah ada orang yang boleh betul-betul dipersalahkan.

Bayangkan daripada bangau sampailah kepada ular berapa banyak alasan diberi bagi mencari dan menyanggah sesuatu perkara, begitulah dengan kehidupan dan pekerjaan pada masa kini.

Banyak isu hangat masa kini mencari kesalahan orang lain, apa yang ingin saya jelaskan dalam konteks dan skop penguat kuasa keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika anggota ditanya mengapa kamu mengambil rasuah? Bayangkan 10 alasan ditaburkan sebagaimana bangau tadi, gaji kecillah, kos sara hidup tinggilah, keluarga sakitlah dan seterusnya.

Begitu juga dengan pemimpin tertinggi di sesebuah organisasi, tidak kira penjawat awam atau swasta, segelintir daripadanya suka menuding jari mencari alasan menegakkan apa yang hendak ditegak olehnya dengan mencari alasan dan menyalahkan anak buah sendiri atau kerajaan.

Penjawat awam lebih-lebih lagi agensi penguat kuasa seperti PDRM bertanggungjawab sebagai tulang belakang dan perisai keselamatan negara. Kita adalah pejuang yang akan bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara dan sebagai pemudah cara mewakili pihak kerajaan kepada masyarakat.

Tak usah kita menderhaka kepada pucuk pemerintahan dan jangan sesekali menderhaka kepada kerajaan yang ada. Jangan sesekali menyalahkan kerajaan atau mencari salah kerana apa dibentuk kerajaan adalah melalui kehendak masyarakat bukan diputuskan melalui undi angkat tangan di kedai mamak.

Dalam al-Quran menegaskan, mencari-cari kesalahan orang lain disebut dengan istilah tajassasu (tajassus). Perbuatan ini hampir sama dengan berburuk sangka. Kedua-duanya tergolong sifat tercela amat dibenci Allah SWT dan Rasul-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 12 bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka makan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang."

Ulama besar Yaman, Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad (1634-1720) dalam kitabnya An-Nashoihud Diniyah menjelaskan bahaya daripada sifat tajassasu itu menyatakan: "Kita dilarang menyelidiki kesalahan orang lain yang tidak jelas. Bahkan hal itu diharamkan. Allah SWT berfirman, 'Wa laa tajassasuu (Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain)." Umat Islam diwajibkan menyuruh berbuat yang makruf ketika melihat orang meninggalkannya dan menyalahkan orang yang melakukan kemungkaran.

Habib Abdullah Al-Haddad menegaskan mukmin bertakwa tidak akan berkata sembarangan dan tidak mengatakan selain kebenaran. Setiap Muslim wajib berbaik sangka dan kerana itulah setiap umat Islam wajib berhati-hati dalam semua urusan.

Ini disebabkan zaman kini penuh dengan fitnah dan ramai manusia menyimpang daripada kebenaran. Berbicaralah dengan lunak dan rendah hati kerana sifat lemah lembut itu adalah kebaikan kepada Allah.

Sedangkan kekasaran pula adalah kejelikan sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW. Tidak kira sama ada kita berada di dalam organisasi penjawat awam, swasta atau dunia kepolisan, jangan sesekali kita suka menyalahkan orang lain dalam mencari sesuatu alasan untuk kepentingan diri sendiri atau sesuatu yang kita terajui.

Jangan menyalahkan kerajaan yang kita payungi kerana kita dalam situasi pemudah cara kepada kerajaan. Jangan menjadi seperti lagu klasik Bangau Oh Bangau itu. Bersama kita berdoa kepada Tuhan supaya semua usaha dilakukan sebagai anggota PDRM dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:01 AM