Oleh Lily Haslina Nasir

Mata tajam menusuk kalbu, Ada menyimpan cerita beribu.

Bulan semakin pucat dan lesu di dada langit. Malam kian terbenam di garisan hari. Dingin dinihari disambut haruman melur dan cempaka di halaman rumah. Saat itu Sofea sedang menikmati sujudnya yang panjang di sejadah. Rasa syukur dilafazkan sepanjang sepertiga malam itu.

“Ya Allah! Saat aku khatam surah-surah indah-Mu, aku merayu agar usiaku bertambah dengan tidak sia-sia. Ya Rabb! Ketika aku menzahirkan rasa syukur lewat sujudku di pagi yang bening ini, aku memohon agar dijauhkan segala rasa tidak pasti, rasa tidak tenteram ini. Aku mensyukuri nikmat-Mu. Ya Allah! Aku menumpang rahmat-Mu, semoga hari-hari yang mendatang lebih baik untukku.”

Menghabiskan sisa waktu menunggu subuh, dia memilih untuk terus menikmati mukjizat al-Quran. Terasa ketenangan yang luar biasa apabila hati rawan dipujuk dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Hidup ini, takdir diri kita, semuanya rahsia Tuhan. Kita jangan lari dari masalah. Berusaha, buat yang terbaik, berdoa kemudian bertawakal.” Berulang kali Haji Imran berpesan. Rusuh di wajah Sofea beransur hilang.

Ya, hidup ini harus diteruskan. Bukankah sewaktu lahir di dunia, aku mulakan dengan tangisan. Bukankah untuk nafas yang pertama itu juga satu cabaran kelangsungan hidup untuk manusia? Dan, setakat engkau Chairil Razlan. aku pastikan, engkau tak akan mampu memporak-perandakan hidup aku! Jauh sekali untuk membeli jiwa aku!

***

Pagi masih berkabut, di mana-mana jalan di Kuala Lumpur sesak. Semua berasak-asak dan menderu-deru mahu bergegas sampai ke tempat kerja. Chairil berkira-kira mahu menjengah ke tapak kerja di Pandan Indah. Telefon di sisi berbunyi.

“Bos besar dah tahu. Nak jawab apa?”

“Orang lain dah tahu ke?”

“Rasanya belum. Tapi tak pastilah mulut staf perempuan. Lagi cepat dari Twitter!”

“Aku baru nak ke site.”

“Masuk menghadap dululah. Bos besar tengah tengok semua dokumen.”

“Aku dah nak menghala Pandan Indah ni.”

“Patah baliklah.”

Suara Firdaus cemas. Ah, rakan yang seorang ini kadang-kadang tampak licik macam belut. Ada ketikanya lebih lurus dari bendul! Disergah sedikit sudah menggelabah.

Chairil mematikan telefon bimbitnya, memperkemaskan tali pinggang keledar. Pedal minyak ditekan, memacu Satria tua berekzos buluh itu meredah lautan kenderaan yang sesak.

Sambil memandu fikirannya ligat mencari alasan. Membayangkan soalan yang akan dilontar padanya di meja bujur bilik mesyuarat warna kelabu itu nanti.

Sewaktu sampai di persimpangan jalan memasuki Menara Rumah Manis, kereta pertama Chairil itu terus tangkas memanjat laluan berpusing menuju parkir. Menjejaki aras tiga tiba-tiba pecutannya menjadi perlahan. Dia memandang kereta di depan sambil menggeleng.

Sengaja dia menekan pedal minyak. Semakin mengaum dan berdengung enjin kereta, semakin huru-hara kereta yang bentuk kekotak putih di hadapannya. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Chairil sudah tergelak-gelak sendiri. Tangan pantas mencapai telefon bimbit di sebelah.

“Cik kak! Pia Pemuk. boleh ketepi sikit tak? Aku nak cepat ni! Fasal kau bos besar panggil aku.”

“Errr. err.. saya dah ketepilah ni.” Suara Sofea sangat tidak tenteram di sebelah sana.

Chairil seronok menyakat. Tatkala melintasi kereta antik Sofea, dengan sengaja kereta Satria itu merapati kereta Fiat lama itu sebelum terus menderum laju dan hilang di aras atas.

Terketar-ketar Sofea cuba mengawal stereng. WFG 624? Oh, memang engkau rupa-rupanya! Inilah dia kereta ekzos buluh setinggi KLCC yang berlagak di jalan raya waktu di Pengkalan Hulu dulu! Mencilok-cilok, memotong kereta lain, macam dia seorang yang bayar cukai jalan! Kereta CR rupa-rupanya! Bunyi enjin sama bising macam mulut tuannya! Sofea mengejek dalam hati.

Bos besar nak jumpa CR fasal aku? Sofea seperti boleh meneka apa puncanya. Tentu isu dia hendak berhenti kerja. Ikutkan aku notis 24 jam! Tapi masih tersua-sua muka di sini. Semuanya fasal engkau CR!

Di bilik Tuan Ramli, Firdaus sudah berpeluh ditanya itu dan ini. Semuanya dijawab dengan sengihan gara-gara tidak sempat menghafal skrip Chairil, bos kecil merangkap sahabat baiknya.

“Macam mana tiba-tiba ada nama Sofea dalam training SAP ini?” Itu soalan pertama Tuan Ramli tatkala Chairil menjengahkan muka di bilik. Belum sempat tarik kerusi, tiga empat soalan sudah dilontarkan.

“Habis abah kata jangan kasi dia berhenti.” Selamba dia menjawab.

“Adil ke untuk staf yang lain?”

“Kita bagi peluang pada yang betul-betul boleh buat kerja.” Chairil beralasan.

“Maknanya Sofea tu memang tak ada masalah kerja. Komited bukan?” Tuan Ramli sengaja memerangkap Chairil. Firdaus di sebelahnya sudah menggaru-garu dagu dan menahan senyum.

“Dia memang bagus buat kerja. Masalahnya selalu terpinga-pinga. Blur.”

“Kalau dah tahu dia bagus, kenapa selalu buli?” Tegas suara Tuan Ramli.

“Oh, itu isu personal. Ujian ketahanan minda namanya!”

Balas Chairil dengan senyum nakalnya. Tuan Ramli sudah menggeleng.

“Jangan buat aniaya dengan orang. Tuhan balas tunai sekarang. Hari ini kita di atas, esok lusa, entah kita di bawah dia.”

“Alah, ini hal kecil, abah. Tak babitkan isu kerja.”

“Siapa cakap tak babitkan hal kerja? Habis kenapa nama Effa digugurkan dari senarai training ni?” Sedikit berdebar rasa hati Chairil. Dia memang sengaja meninggalkan nama Effa dan digantikan dengan nama Sofea. Firdaus memandang tidak lepas wajah Chairil. Dia sudah tergagap-gagap waktu diasak pertanyaan Tuan Ramli.

“Kursus SAP berserta peperiksaannya bukan murah, abah. Puluh ribu. Sesiapa yang ikut serta, kemudian hari sepatutnya jadi aset syarikat. Tapi minta maaf, saya tak nampak ciri tu pada Effa. Maaf kalau saya judgemental. Tapi kalau niat ke pejabat setiap hari tu asyik nak melawa, berangan macam model runway sepanjang koridor Menara Rumah Manis ni, macam mana nak fokus kerja?”

Terbatuk kecil Firdaus mendengar komen pedas Chairil mengenai Effa. Tapi memang dia sangat setuju.

“Hari ni datang pejabat mata hijau, esok mata biru, lusa warna ungu. Sibuk selfie dalam tandas, orang dalam meeting sibuk belek kuku, kita bercakap fasal sistem inventori, dia sibuk dengan whatsapp minta kod nombor poslaju lingerie yang dia beli online. Oh, tolong abah.. Kalau dia ikut serta training yang harga puluh ribu ni, mahu berasap kepala saya nanti! Saya perhati semua ni pada staf.” Panjang lebar Chairil meluahkan segala yang dirasakan terbuku di hati.

“Kau merungut macam kau tak pernah buat salah. Kau pergi memancing sampai tutup telefon tu apa cerita?” Sindir Tuan Ramli.

“Saya pergi bila projek pejabat dengan deadline dah selesai.”

“Terpulang. Kuasa di tangan Chairil. Tapi jangan sampai berat sebelah, jangan menganiaya pekerja. Kita mencari rezeki biar berkat. Allah kalau nak tarik nikmat rezeki ni, sekelip mata saja. Jangan angkuh dengan apa yang kita ada. Ada beberapa perkara dalam hidup yang tidak menuntut masa yang lama dan strata pemikiran paling tinggi untuk kita putuskan penyudahnya. Ada perkara yang menuntut mata hati dan kematangan kita dalam buat keputusan. Terpulang Chairil.”

Lega Chairil mendengar kata-kata Tuan Ramli. Firdaus sendiri baru berasa boleh bernafas. Kedua-duanya keluar dari bilik Tuan Ramli dengan perasaan lega.

“Tapi aku rasa lepas ni mesti kecoh. Mesti havoc!”

“Kenapa?” Soal Chairil sambil berpaling ke arah Firdaus.

“Senarai nama yang pertama peserta training memang dah heboh bulan lepas. Tiba-tiba nama akak seorang tu tak ada. Harus meraung dia nanti.”

“Alah, dia meraung bukan fasal kursus ni sangat! Tapi fasal dah tempah baju sebulan awal kot khas untuk melaram masa kursus. Aku tahu sangat Effa tu!”

Di meja kerja, Sofea seperti tidak menang tangan. Tiba-tiba sahaja dia berasakan semua kerja dilonggokkan di hadapannya. Dalam masa yang sama dia harus menyiapkan beberapa dokumen penting untuk kursus yang disertainya.

“Alhamdulillah! Untung Pia! Baru masuk dah dapat ikut training ni.” Ujar Nisa yang menguruskan semua pendaftaran penyertaan.

“Tak tahu nak kata. Tapi lepas ni mesti kena kerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu!” Balas Sofea tenang.

“Pia tak jadi berhentikan?”

Gadis itu terdiam, memikir sejenak.

“Itulah! Ikutkan hati memang nak berhenti, terasa kadang-kadang bos macam tak suka kita. Tapi peluang macam ni sekali seumur hidupkan. Orang lain di luar tu susah nak dapat kerja.” Suara itu merendah. Memahami setiap yang terjadi ada percaturannya. Dan Sofea akur kalau selepas ini dia kian terdera di Menara Rumah Manis.

E-mel berterbangan. Panggilan telefon susulan mengerdip-ngerdip dan menjerit di telefon bimbit. Pada buku catatan, pada helaian kertas, semuanya tunda-menunda. Setiap satu berputar-putar pada kelongsong fikir. Hidup bagai berkejaran di atas jarum jam.

“Hei, Pia! Kau lobi apa ya? Sampai nama aku kena potong?” Tepat seperti yang dijangkakan oleh Firdaus dan beberapa sahabat rapat di Menara Rumah Manis, Effa menyinga bila tahu namanya tiba-tiba tiada.

“Potong? Nama?”

“Jangan nak berdramalah! Kau nak berhenti, berhenti sajalah. Kenapa nak main wayang. Budak mentah sungguh! Tapi hati tu hitam macam dah biasa main kotor ya!”

“Astaghfirullah. mana saya ada buat apa-apa. Saya dipaksa untuk ikut training tu.”

“Tak payah nak buat muka suci dengan aku. Betina macam kau ni, masuk kerja tempat macam ni bukan nak kerja sangat. Ni mesti niat nak pancing jantan, nak cari laki kan??” Pedih berdengung telinga Sofea. Ada air mata berkaca di hujung pipi.

“Tak payah nak menangis sangat! Mulai hari ni, mana kerja aku yang aku rasa aku tak mahu buat, kau ambil alih faham! Kalau dah gatal, dah merenyam sangat nak cepat naik, hah. kau buat apa yang aku suruh! Kau tu kuli batak saja dekat sini! Faham!”

Jerkah Effa dengan muka yang sangat menyinga. Seluruh pejabat terlunga melihat amukan itu. Effa menghempas fail-fail sebelum meninggalkan pejabat.

“Nisa, tolong beritahu Chairil, I ambil cuti kecemasan!”

Dengan kasut tumit tinggi yang runcing, Effa menghentak-hentakkan kaki keluar menuju ke lif. Sofea terpempan. Air mata laju mengalir.

Telefon dimejanya berbunyi. Sofea mengesat air mata dan menjawab.

“Umur dah tak muda, nak masuk tua! Buruk rupa menangis. Baru kena jerkah dengan kawan sendiri takkan nak meraung kot. Belum lagi berkursus dengan teknologi Jerman.”

Tergamam Sofea mendengar suara Chairil di hujung telefon. Huh, mamat seorang ini satu hal! Kau punya keputusan, aku yang kena maki! Air mata dikesat lagi, gagang telefon diletak. Hati mencemuh diri sendiri. Tatkala itu Sofea tidak pasti siapa yang harus dia marah. Muka terasa kebas, hati menjadi sebal. Allah! Patutnya aku yang berlari tinggalkan pejabat! Bukan Effa! Ya Allah! Berikan aku kekuatan!

“Pia, Firdaus. ikut I pergi jumpa client di Pullman, Bangsar petang ni!” Arahan daripada Chairil membuat dia tidak berupaya menolak. Puas dia memujuk hati. Senyum Pia! Senyum! Biarpun tunjuk muka plastik! Kau kerja, makan gaji. Tunjuk muka manis depan orang!

Petang itu perlahan-lahan dia cuba menguis rasa pedih pagi tadi. Dia bertemu dengan beberapa kumpulan usahawan. Biar agak kekok, dia cuba untuk bertenang dan bersahaja. Bersembang-sembang dengan mereka yang penuh pengalaman lagi kemas kemahiran. Saling bertukar kisah, larut dalam cerita dan ketawa, namun langsung bertukar serius apabila mendapat tahu ada projek menanti Pengkalan Hulu.

“Pihak tuan sanggup berkerjasama?”

“Mengapa tidak. Bos awak ni banyak hartanah di Pengkalan Hulu. Tempat yang eksotik lagi perawan di sana.” Mr Kamil menunjukkan kesungguhan yang luar biasa.

Sofea tersenyum manis. Berpura-pura sungguh! Ejeknya sendiri dalam hati. Pia, engkau satu sen pun tak tahu apa yang bos kau ada di Pengkalan Hulu!

“Berkolaborasi untuk projek yang satu ini. Glorious!” Chairil sudah bercahaya mukanya. Dalam diam dia kagum dengan wajah tenang Sofea biarpun pagi tadi sedikit ribut.

Dah kurang muka blur kau ya, Pia Pemuk!

“Kalaulah boleh, kita bersama-sama ya!” Tangan dijabat kemas dan berulang-kali Chairil menyatakan rasa tidak sabar untuk memulakan kertas kerja bersama-sama Kamil Holdings.

Hampir dua jam minum petang bersama, mereka usai dan kembali ke Menara Rumah Manis. Firdaus menggantikan Chairil ke Pandan Indah untuk melawat site. Sementara Chairil dan Sofea pulang terus ke pejabat.

“Tuan Chairil, kalau saya tak mahir lagi dalam isu kontrak baru ni, saya minta maaf ya!” Dalam kereta dia memberanikan diri meluahkan rasa hati. Jiwa. mengapa risau engkau bertambah-tambah.

“Jadikan aku sebagai your super complete guide.” Ucap lelaki itu sambil tersenyum senang. Dia menjeling sekilas Sofea di sisinya. Wajah itu memang polos jernih. Sebenarnya memang redup mata yang melihat seraut muka manis itu.

Mahu kusingkap puri keindahan engkau, Pia! Err tapi bukan pada gaya engkau ya! Mujur ditahan mulutnya. Kalau tidak mahu dia menyakat Sofea begitu.

“Saya tak ada pengalaman.”

“Pia kutip ilmu bersama-sama aku! Flip through the pages, and you’ll understand my affection!” Sambungnya lagi sambil bernyanyi-nyanyi kecil tatkala memandu.

“Apa hal monyok tu?” Chairil baru menyedari ada resah pada Sofea yang belum sudah.

Sofea angkat bahu.

“Datang bulan?” Usiknya nakal. Terbuntang mata Sofea. Terasa pipinya panas dan pijar merah.

“Pia, aku nak tanya. Kenapa ya perempuan suka cerita itu ini dalam Insta? Tayang hal personal di Facebook? Lepas tu bila kena belasah, kena kutuk, privatekan! Marah semua orang. Siapa yang cari masalah? Kita yang bagi laluan dengan semua posting kita. This is totally ridiculous. Sorrylah Pia, bab ni aku kolot sikit. Bunyinya macam antisosial kan?” Dia sengaja memancing perbualan.

“Perempuan kadang-kadang niat bukan nak menunjuk ,tapi sebab sekadar nak kongsi cerita. Nak buang rasa sunyi. Perempuan mana ada lepak di kedai mamak sampai subuh tengok bola.”

“Nak kongsi? Sunyi? Kenapa bila berkahwin tak mahu bermadu? Boleh berkongsi. Hilang sunyi!” Sekali lagi Chairil mengenakannya.

“Amboi!! Tuan Chairil bukan main ya!”

“Betullah kan..”

“Tuan, boleh saya tanya satu perkara?”

Lelaki itu memegang stereng kemas sambil mengangguk.

“Tanyalah!”

“Kenapa tuan selalu marah-marah saya? Tuan ni memang garang ya?”

“Oh ya! Eh, mana ada..”

“Selalu nak marah-marah. Staf pun takut.”

“Kau saja yang takut! Haha. cuba kau tengok kalendar lunar, kau ni lahir tahun tikus kot! Aku lahir tahun harimau!”

Mereka tertawa bersama-sama. Ada getar bermain di hati Chairil. Dan Sofea dapat merasakan ada lagu bahagia yang mendesah di hati.

Pia, aku benci tidak jujur pada engkau. Namun aku lebih khuatir, kau akan membuat aku jatuh cinta untuk kali kedua! Lebih berganda kebimbangan itu apabila sesudah membuat aku jatuh, aku terluka lagi. Tuhan, satu aku pinta. Jangan kau lembutkan hati aku.

Chairil berbisik di dalam hati sambil memujuk hati untuk tenang.

“Tapi tuan macam benci saya.”

“Mana ada. Hati aku ni baik. Susah nak cari lelaki macam aku!”

“Tuan kalau senyum macam tak ikhlas. Muka ketat!” Sofea membidas. Lantaklah kalau kau nak terasa. Aku cakap yang benar! Lega hati dapat meluahkan semuanya.

“Mana tahu ikhlas atau tak? Pia boleh baca hati orang? Takut abang kalau Pia ada ilmu makrifat macam tu!”

Sofea tersipu-sipu malu.

“Entahlah! Aku kena belajar kawal diri kot. Ke aku ni memang ikut darah datuk aku.”

Sofea mendengar dengan tekun. Berpaling ke arah Chairil dengan muka berkerut.

“Datuk aku Bugis. Haha. sekali dia jerkah, aku rasa macam penampar dia separuh jalan dah singgah ke muka aku.”

“Tipulah!”

“Hal darah keturunan nak buat apa aku tipu. Memang aku bangga, aku keturunan Bugis. Sentiasa bersemangat. Orang Bugis hati kental. Tak mudah patah semangat. Bukan lembik cengeng macam kau!”

Sofea tercebik.

“Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Celak, Panglima Hitam. ramai lagi kalau aku nak sebut. Itu semua darah Bugis. Hebat. Darah pejuang. Pelayar agung. Dilambung ombak ganas pun, lautan tetap padang permainan pejuang Bugis. Kalau kau faham sejarah mereka, kau faham apa yang selalu bergolak dalam hati aku. Aku benci orang cepat mengalah.”

Mula-mula hendak tergelak tetapi Sofea menyedari lelaki di sisinya itu bersungguh-sungguh melafazkannya. Tiba-tiba bulu roma terasa meremang. Oh, lelaki ini bukan kosong rupa-rupanya.

Langit di luar sana semakin memudar jingga. Serakan cahaya kuning tembaga memayungi alam. Sofea ingin bertanya lagi tetapi perasaan segan menguasai diri. Nanti-nantilah dulu! Hari ini dia boleh berbual santai dengan aku sudah seribu rahmat! Pucuk-pucuk rumput di perkarangan Menara Rumah Manis sudah bertukar perang tatkala mereka sampai ke pejabat.

“Jumpa esok, Pia!” Chairil berlalu pergi sebelum menurunkan Sofea betul-betul di hadapan lobi.

Gadis itu tersenyum mengangguk. Terasa ada warna pelangi di langit petang itu. Lelaki Chairil ini memang aneh! Ada banyak cerita yang disimpan dan diketahui rupa-rupanya! Hati Sofea berbisik sendiri.

Bersambung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:40 PM