GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

Peribahasa Melayu ada menyebut, 'Bila sudah merah; kapur salahkan kunyit, kunyit salahkan kapur." Ungkapan ini membawa maksud yang cukup mendalam untuk menggambarkan situasi yang biasa berlaku dalam kehidupan manusia. Keadaan ini terserlah apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka wujud pihak tertentu yang saling menyalahkan antara satu sama lain.

Masing-masing ingin melondehkan kelemahan orang lain untuk menyelamatkan kebertangungjawaban diri sendiri.

Misalnya apabila berlaku gejala sosial membabitkan anak muda, ada pihak menyalahkan ibu bapa, tidak kurang pula yang menyalahkan guru di sekolah, masyarakat sekeliling turut dikatakan menjadi punca berlaku masalah remaja. Pada musim Covid-19 sekarang pula, ada orang menyalahkan kerajaan, juga kedengaran suara mengatakan pihak yang menguruskan kesihatan takutkan kematian, tidak kurang juga asyik mengatakan rakyat tidak patuh SOP dan peraturan.

Sebenarnya orang yang suka menuding jari apabila berlaku kesusahan ialah golongan mementingkan diri sendiri dan tidak sanggup untuk sama-sama menyumbang idea menyelesaikan masalah. Golongan seperti ini bertindak hanya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada menerima kecaman daripada orang lain. Perbuatan sebegini tidak akan menyelesaikan masalah, malah menyebabkan masalah menjadi bertambah rumit.

Perbuatan menuding jari ke arah orang lain dilihat selari dengan makna peribahasa yang dinyatakan tadi. Pihak yang saling menyalahkan antara satu sama lain hanya berusaha untuk menyelamatkan diri sendiri. Sedangkan apabila diperhatikan perbuatan menuding jari kepada pihak lain, ada jari yang menghala ke arah dirinya sendiri.

Di sinilah pentingnya untuk menginsafi bahawa perbuatan menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya diri sendiri perlu sama-sama bertindak secara proaktif untuk menyelesaikan masalah mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing.

Menuding jari hanya akan mencetuskan perbalahan. Hal ini akhirnya menyebabkan masalah utama tidak dapat diselesaikan ataupun lambat untuk diselesaikan. Sebab itu, pendekatan perbincangan lebih baik untuk diamalkan apabila berlaku sebarang permasalahan. Perbuatan saling menyalahkan perlu ditukar kepada saling memberi pandangan, saling bekerjasama dan saling berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi sebarang isu yang timbul.

Ia sebenarnya petua menguatkan permuafakatan, bukan melemahkan dengan cara mencari-cari kesalahan.

Di akhirat nanti, akan berlaku pertelingkahan disebabkan perbuatan salah-menyalahkan antara sesama manusia. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: "Kemudian, sesungguhnya kamu semua pada hari kiamat akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu." Surah az-Zumar, ayat 31

Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi dalam tafsirnya terhadap ayat berkenaan menjelaskan pertengkaran atau suasana saling menyalahkan itu berlaku dalam kalangan manusia di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW akan berdepan hujah golongan yang tidak beriman kepada Allah SWT. Golongan kafir akan menyalahkan Rasulullah SAW dengan hujah yang dusta. Namun, akhirnya ternyata Rasulullah SAW benar-benar menyampaikan risalah Allah SWT kepada umat manusia. Mereka yang kafir itu dengan pilihan mereka sendiri terus menolak dakwah Rasulullah SAW ketika di dunia.

Bukan saja Rasulullah SAW, malah setiap manusia juga berdepan dengan pertelingkahan sesama kenalan mereka. Masing-masing berusaha untuk menyelamatkan diri sendiri sehingga terpaksa menyalahkan orang lain. Inilah yang digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran mengenai teman karib di dunia yang saling bermusuhan di akhirat nanti.

Apabila persahabatan di dunia tidak didasari kerana Allah SWT, banyak kelompongan yang wujud dalam persahabatan sehingga menjadikan masing-masing berkeadaan saling menyalahkan antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Pada hari itu sahabat karib; sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." Surah az-Zukhruf ayat 67

Menurut Syeikh Abd ar-Rahman as-Sa'di hal itu berlaku antara sahabat karib yang persahabatan dan kecintaan mereka ketika di dunia bukan kerana Allah SWT. Mereka bersahabat semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu ketika hidup di atas dunia. Oleh itu, hubungan yang akrab di dunia akan berubah menjadi permusuhan di akhirat nanti.

Lebih dahsyat lagi, golongan manusia yang bakal dimasukkan ke dalam neraka di akhirat nanti masih berusaha untuk menyalahkan syaitan atas kelalaian dan dosa yang dilakukannya. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "(Semasa dia dihumbankan ke dalam neraka Jahanam, dia mendakwa syaitanlah yang menjadikannya sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku (syaitan) tidak menyesatkannya, tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.'" Surah Qaf, ayat 27

Ayat seterusnya menjelaskan: "Allah berfirman: Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa golongan yang bersalah)." Surah Qaf, ayat 28

Begitulah perbuatan manusia di akhirat nanti yang saling menyalahkan antara satu sama lain untuk melepaskan diri daripada hukuman Allah SWT. Dalam pada ada rasa penyesalan, mereka masih tetap berusaha menyalahkan orang lain atas perbuatan yang mereka sendiri lakukan. Jelaslah bahawa menuding jari ke atas orang lain adalah sikap orang bersalah yang masih mempunyai keegoan tebal bagi menyelamatkan diri sendiri dengan menindas orang lain.

Jadilah orang yang jujur terhadap diri sendiri. Sekiranya ternyata sesuatu perkara yang tidak diingini berpunca daripada kelemahan sendiri, bertanggungjawablah dengan berusaha menyelesaikan masalah yang berlaku.

Dalam keadaan lain pula, meskipun diri tidak terbabit sehingga menyebabkan sesuatu yang tidak diingini berlaku, tidak salah menghulurkan tangan membantu untuk menyelesaikan masalah secara bersama. Bukankah semua orang inginkan kehidupan yang bahagia dan harmoni? Perbuatan saling menyalahkan orang lain hanya akan menjadi punca tercetusnya pertengkaran dan perbalahan sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Janganlah kalian saling mendengki, saling menipu, saling memarahi dan saling memutuskan hubungan dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya." Hadis Riwayat Muslim

Orang yang memiliki takwa akan sentiasa bersikap jujur termasuk terhadap dirinya sendiri dan akan bersama-sama dalam kalangan orang yang benar. Fimran Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar." Surah at-Taubah, ayat 119

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:15 AM