Tiz Zaqyah
Tiz Zaqyah

Kuala Lumpur: "Kenapa sampai begini? Apa yang kau lawan sebenarnya?"

Demikian tulis pelakon, Tiz Zaqyah di Facebook menyeru masyarakat supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Tiz yang sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 juga bertanya kepada mereka yang menolak vaksin, apakah yang mereka mahukan dan apa yang ingin mereka lawan.

"Ambillah vaksin. Manusia, manusia. Pasal kebaikan pun nak bergaduh. Ego. Bongkak. Semua orang dah vaksin, kamu saja belum.

"Kamu lawan, lawan, lawan sedangkan kami semua nak menang bersama. Ya, termasuk kawan-kawan aku yang tak nak vaksin," tulisnya.

Di ruangan komen, Tiz membalas beberapa komen netizen yang memberikan pelbagai alasan untuk menolak pengambilan vaksin.

Antara balasan Tiz adalah apabila ada netizen menyalahkan panggilan vaksinasi yang tidak diterima walaupun selepas mendaftar sejak April.

"Kau yang tak nak usaha. Aku siap kena Covid-19 tunggu tiga bulan nak ambil vaksin. Alhamdulillah, aku dah 'setel'. Kalau tak tahu, bertanya. Bukan komen di sini, dik oi," tulisnya.

Dalam komen lain, Tiz juga berkongsi rasa syukur dan mendoakan netizen yang menolak vaksin supaya dibukakan minda untuk kebaikan.

"Allah bagi manusia akal. Saya tetap bersyukur. Alhamdulillah masih hidup selepas kena Covid-19.

"Saya kuarantin. Saya ambil vaksin. Alhamdulillah. Saya doakan Allah bukakan minda anda untuk kebaikan," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Tiz turut berkongsi pautan berita yang melaporkan mengenai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang meminta laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dibuat terhadap seorang pengguna Twitter atas penyebaran berita palsu berhubung vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 10:52 AM