Oleh Lily Haslina Nasir

Bulan berwajah gemilang di pucuk langit. Ada resah yang berpusar di jiwa Tuan Ramli. Entah mengapa dia tidak boleh pejam biar mata sebenarnya meminta lena. Angin yang berkisar di luar terasa seperti menyergah batinnya.

Detak jantung cepat dari biasa. Dingin menerjah teng­kuk. Bagai ada sepasang mata yang rapat memerhatinya. Ada renungan tajam di dalam gelap yang membuat malamnya terasa berbahang. Jam tiga pagi, dia bangkit membuat solat tahajud. Membenamkan seribu keluh dan gelisah dalam manisnya sujud yang panjang. Astaghfirullah...

Belakang badan terutama pada bahagian belikat terasa sengal dan berbisa. Terasa berdenyut-denyut. Jantung kencang, darah menyerbu ke seluruh saraf. Lelah jiwa. Lelah tubuh. Sesekali terasa ada hembusan dingin membuai di tepi cuping. Langsir terbuai-buai, bagai ada yang tumpang menyelinap di sebalik jendela itu.

“Ya Allah, Ya Rabb, sung­guh aku ini adalah hamba-Mu, anak dari hamba-Mu, anak dari hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku ada di tangan-Mu, ketentuan-Mu berlaku pada diriku, keputusan-Mu adil terhadapku, Aku memohon kepada-Mu dengan semua nama yang merupakan milik-Mu, nama yang eng­kau lekatkan sendiri untuk menamai diri-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang di antara hamba-Mu, atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang Eng­kau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, agar engkau menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya dadaku, penghilang kesedihanku dan pelenyap keresahanku.”

Bibir terus basah dengan lafaz doa yang tidak putus. Tangkai hati terus dipalu resah.

“Abang kenapa ni?”

“Tak boleh nak tidur. Hati rasa tak sedap.”

“Oh... saya ingat saya seorang yang tak boleh lelap.”

“Macam ada yang tak kena. Tapi tak tahu apa. Rasa nak telefon Chairil tapi ni dah pagi sangat.”

Puan Ramnah terdiam. Ya Tuhan, kau jauhkanlah anakanda kami daripada segala musibah. Hatinya sendiri bagai dihambat rasa debar yang tidak ketahuan. Rimas tidak boleh tidur, Tuan Ramli bangkit ke dapur.

“Abang nak buat apa?”

Puan Ramnah berkerut melihat suaminya mencari sesuatu di dalam kabinet dapur.

“Garam bukit. Awak siapkan saya air batu satu besen.”

“Nak buat mandi?”

“Aha...”

“Tengah pagi macam ni?”

“Tak apa. Hati rasa tak sedap takkan saya nak telan panadol pula!”

“Dua-dua sekali? Mandi air batu dengan mandi air garam bukit?”

Tuan Ramli mengangguk. Sejak dari muda memang itu jadi amalannya kalau ada rasa bisa-bisa badan yang tidak ketahuan puncanya.

Puan Ramnah dengan kerut di dahi tapi tidak berani bertanya banyak, terus me­nyiapkan satu besen ketulan air batu. Mujur saja di dalam peti bekunya, air batu memang sudah siap tersedia.

Kelibat Tuan Ramli hilang dalam gelap dan dingin malam di bilik air. Bunyi air dijirus memecah keheningan malam. Bersama tertib jirusan dan bacaan rukyah, Tuan Ramli bertawakal merawat resah jiwa diganggu dengan mandian air batu dan diikuti mandi garam bukit.

Lega dapat bersiram ­dengan air batu. Air garam bukit pula dibiar kering sendiri. Biar sedikit melekit Tuan Ramli membiarkannya saja. Zikrullah dan doa basah di bibir dan jelapang hati Tuan Ramli sehingga dia terlena sendiri dan menguis tepi perasaan yang aneh itu.

Di Pengkalan Hulu, sewaktu bulan masih me­ngambang cantik pada jam 4 pagi, Chairil bangkit dari tidurnya. Kepala terasa berat. Segenap denyut nadi terasa dijerkah rasa sakit bukan kepalang. Chairil pantas membancuh kopi dengan madu. Dua biji paracetamol ditelannya sebelum memaksa diri kembali berbaring. Usai solat subuh, Chairil yang sudah berjanji dengan Pak Man, memaksa Firdaus mengikutnya ke Tasik Banding. Peralatan memancing yang sudah awal-awal disediakan tersusun kemas di dalam kereta.

“Tak mahu beritahu kawan-kawan lain?” Pak Man bertanya Chairil sebelum kenderaan bergerak.

“Tak apalah. Nanti ganggu pula. Semua penat tu. Biarlah dia orang tu tidur.”

“Sungguh ke ni?” Pak Man berkerut. Firdaus yang masih mengantuk dan terpisat-pisat tidak menyampuk langsung.

“Kita bertiga saja. Nanti kalau beritahu, lecehlah. Ada pula tiga orang perempuan tu nak ikut kita.”

“Terpulang, Chairil.”

“Kalau ramai-ramai bising. Nanti ikan pun lari!”

“Pak Man bimbang kalau Chairil di sana baru nak beritahu, kotlah masa tu line telefon tak berapa elok.”

“Tak apa Pak Man, selama ni kalau saya keluar memancing dengan Firdaus pun memang saya suka senyap-senyap. Tak beritahu orang.”

Chairil kemudian fokus memandu sebelum matanya menyedari sesuatu.

“Ohhh... bulan penuh! Cantik!” Matanya dilemparkan pada bulan di langit.

“Ya ke?”

Soal Firdaus sambil melemparkan pandangan. Gelita dan sunyi di luar. Hutan dan bukit-bukau yang menjadi pasak bumi tampak hitam sehitamnya. Sesekali terasa gerun merenung lama. Namun cahaya serakan warna perak rembulan penuh memang mengasyikkan.

“Patutlah bos angin tak baik saja! Asyik nak sentap. Hahaha bulan penuh, bos pun jadi macam datang bulan!”

“Woii! Kalau tak mahu kena baling ikut tingkap, mulut tu kasi tapis sikit!” Tegur Chairil.

Terbahak-bahak gelak Pak Man dengan Firdaus. Tidak mahu mencurah minyak pada bara api di hati Chairil, Firdaus memejamkan mata.

“Kejut bila sampai. Aku nak sambung tidur!”

“Tidurlah Firdaus. Tak elok kalau banyak cakap yang bukan-bukan. Kita ni meredah Banjaran Titiwangsa. Gelap pula tu.”

“Huishh! Kenapa Pak Man?” Nakal nada Firdaus tapi pesanan Pak Man itu menyebabkan dia tidak jadi untuk lena.

“Tidur. Kalau tak mau tidur, zikir dalam hati banyak-banyak. Nanti tak fasal-fasal ada bunyi burung ‘Chiap Chereyet’ pula tepi tingkap kereta.”

Chairil diam tidak berbunyi. Namun dia tahu Pak Man, orang lama yang ­banyak menyimpan cerita dan pengalaman.

“Apa tu?” Firdaus beriya-ya mahu tahu.

“Itu kepercayaan suku orang asli Temiar. Maknanya roh orang mati tengah bersepah merata-rata. Dah tempat kita nak pergi ni hutan banat. Nama pun tasik. Memang tempat mainan jin. Jaga tingkah laku. Mulut jangan celupar. Jangan sampai kena sergah dengan Sulur Bidar.”

“Apa pula tu? Sulur keladi saya tahulah!”

“Cerita orang dulu-dulu, penunggu tasik. Konon nasib tak baik ikan toman besar kereta kancil pun boleh serang orang yang memancing.”

“Hah tu confirm cerita dongeng!”

“Memang pun... tapi kalau masuk tempat macam ni, mulut kena jaga. Ni tempat hitam zaman komunis. Masa perang dunia kedua, ni laluan tentera Jepun dengan tentera Siam. Faham sendiri sajalah!”

Firdaus kemudian terdiam sendiri apabila melihat Chairil seperti gelisah. Sebelah tangan memegang stering, sebelah lagi asyik memicit tengkuk.

“Kau okay?” Tanya Firdaus.

“Okay. Tak ada apa.”

Kenderaan terus memecut, sesekali mendaki dan membelok pada selekoh-selekoh tajam mengharung kabus yang amat tebal. Ada detak pantas pada jantung Chairil. Ada denyut nadi nan menggelepar pada jiwa. Namun dia tidak mampu menafsir isyarat yang menguasai jiwanya itu.

Masuk pukul 8 pagi, telefon Chairil berbunyi. Suara Sofea beku bagai ada masalah yang tersimpan. Tepat telahannya. Sofea mohon izin untuk pulang bersama emaknya yang kebetulan mahu bercuti ke utara hujung minggu itu. Tapi entah mengapa Chairil tidak mampu menepis rasa curiga. Bukan emak Sofea, entah-entah Haziq!

“Abang kat mana?”

“Cuba tengok sebelah, takkan tak nampak abang?”

“Jangan main-mainlah. Pia stress ni. Orang dekat Menara Rumah Manis dah asyik telefon Pia. Banyak benda nak settle.”

“Eh, punya ramai lagi staf Menara Rumah Manis, kenapa pula orang call Pia. Semua tahukan Pia outstation.”

“Oh, tu kena tanya kekasih tak jadi abang tu, Effa.”

“Ni nak marah-marah ni kenapa?”

“Mana ada marah-marah, rimas aje!”

“Pia, rimas dengan abang ke rimas dengan orang lain?”

“Mana ada. Tak ada apalah!”

“Pia, lebih baik cakap yang betul daripada berselindung macam ni.”

“Sungguh tak ada apa-apa?”

“Okay, Pia. Beritahu juga pada Kak Rose dengan Nisa. Tunggu sampai kami selesai. Lepas tu boleh bergerak balik ke Kuala Lumpur.”

“Err... kalau emak Pia datang, tak boleh Pia ikut emak Pia balik.”

“Emak Pia ke siapa yang nak datang jemput tu?”

“Emak Pia. Dia datang dengan geng dia. Ada plan nak ke Kuala Gula dari sini. Lepas tu nak ke Pulau Pinang. Hari ni Jumaat. Esok Sabtu. Tu yang mak Pia tiba-tiba rancang berjalan.”

“Pia, sejak bila belajar berbohong ni?”

“Ya Allah, betullah! Emak Pia mesej tadi.”

“Bukan Haziq yang beriya nak jemput Pia ke?”

“Mana ada!”

“Ini yang abang tak suka dengan perempuan. Muka aje nampak manis, nampak baik. Kadang-kadang muka baik ni lagi pandai berdrama!”

“Ya Allah! Pia kan kata, emak Pia ada?”

“Abang tanya Haziq ada sekali bukan?”

Sofea diam di hujung talian. “Perempuan ni kalau muka baik, memang ba­nyak yang propa sekarang.”

“Abang ni kenapa suka sarkastik?”

“Me? Sarcastic? Never.”

“Suka menyindir orang.”

“Masalahnya orang tu suka berdolak-dalih bila bercakap.”

“Itu kata abang. Masalah pada kita, Effa marah bila abang bawa kita ke sini. Memang kena gulai dengan dia bila balik pejabat ni.”

“Pia, jangan ubah topik Haziq pada Effa boleh?”

“Eh, bila Pia alih topik. Ini realiti. Abang pernah flirt dengan dia bukan? Lepas tu tak fasal-fasal orang marah kita.”

“Effa? Tak pernah masuk dalam senarai! Kecualilah nama Sofeatulaishah. Pia Pemuk! Kalau dengan Pia, I don’t need to flirt, I will seduce you with my awkwardness!”

“Huh! Bencilah!”

“And you will remember me, whether you want to or not!”

Talian diputuskan. Chairil mendengus marah. Gelora perasaan tidak mampu ditahan. Telefon bimbit dimatikan dan dicampakkan terus ke dalam beg.

“Kenapa marah-marah?”

“Tak ada apa Pak Man.”

Firdaus yang menyedari kelainan bosnya tidak berani menyampuk. Riak wajah Chairil jelas ada yang tidak kena.

“Kawal kemarahan Chairil. Jangan ikutkan hati. Pak Man kenal sangat keluarga Chairil. Jaga api kemarahan tu. Istighfar banyak-­banyak.”

“Sungguh. Tak ada apa, Pak Man.”

Chairil pura-pura untuk tekun menghadap jorannya. Hati panas biar keadaan sekeliling masih dingin membeku. Kabus di banjaran gunung masih tebal, umpama kapas yang berkelopak indah.

“Dari mata yang bercahaya tu, terasa hangat kemarahan kamu. Darah baran memang mengalir dalam keturunan kamu. Jangan ikutkan hati.”

“Huh, saya tak tahu kenapa. Saya selalu ada rasa benci pada perempuan.”

“Benci tu bisikan syaitan.”

“Tapi kadang-kadang saya rasa benci saya tu bersebab.” Muka kelat, hati melayang ke rumah agam Pengkalan Hulu. Jasadnya saja sedang memancing. Chairil keliru di dalam diam. Ya Allah, kenapa aku? Bukankah memancing sentiasa beri aku penawar resah?

“Ingat pesan Pak Man, kamu tak boleh ikutkan rasa marah. Jangan biarkan syaitan, jin meresap masuk ke dalam jiwa, menyusup dalam darah. Jangan selalu layankan amuk di dalam hati tu.”

“Pak Man tahu ya hal keluarga saya.”

“Aku kenal lama arwah datuk kau. Aku tahu semua. Jangan jadikan darah Bugis tu alasan untuk Chairil ikut perasaan. Marah, dendam, tak ubah macam bara api yang syaitan balingkan pada hati anak Adam.”

“Tak tahulah kenapa Pak Man. Saya akui... saya kadang-kadang payah nak kawal diri. Susah nak jaga mulut bila bercakap. Nak pula macam sekarang. Tiap kali bulan penuh, badan saya sakit-sakit. Allah swt saja yang tahu.”

“Itu semua dugaan hidup. Chairil sempurna serba-serbi. Allah swt uji sikit aje ni. Cara nak kawal diri mudah aje, dekatkan diri dengan Allah swt.”

“Saya cuba Pak Man. Tapi memang selalunya saya kalah.”

“Jagalah Allah, Allah pasti menjaga kita. Letakkan Allah di hadapan kita, nescaya Allah tidak membelakangkan kita. Letakkan Allah di tempat tertinggi di hati kita, nescaya Allah akan sentiasa memandang kita dan tiada apa yang dapat menggusarkan hati.”

“Saya serik dengan perempuan yang ambil kesempatan, yang suka berpura-pura. Dalam kepala saya, perempuan ni kita lelaki kena ajar. Kena asuh ikut acuan kita.”

“Kalau kita nak mengasuh perempuan, pastikan diri kita dah sempurna. Diri kita dah boleh jadi khalifah, jadi imam, jadi pembimbing perempuan.”

“Saya berusaha ke arah itu Pak Man. Tapi memang hati saya selalu rasa tak tenang.”

“Jika hati tidak tenang maka mengadulah kepada Pemilik ketenangan.

Jika terasa berat diuji maka mintalah kepada Yang Memberi ujian agar diri­ngankan dan diberi jalan penyelesaian. Jika terasa sukar berurusan dengan manusia maka mintalah dari Pemilik hati dan Pencipta manusia itu agar dipermudahkan urusan.”

Pak Man terus dalam lembut mentarbiyah Chairil. Anak majikannya itu memang dikenali sejak kecil. Memang dia faham sangat baran Chairil yang diwarisi daripada arwah datuk­nya dahulu. Siapa tak kenal Daeng Said, nama asal datuk Chairil yang dikenang sebagai Pak Said Mata Rimau. Bengis dan cengihnya selalu buat orang kampung ketar perut.

“Terima kasih Pak Man sebab ingatkan saya. Payah benda ni. Tak apa, saya cuba.”

“Perlahan-lahan Chairil. Jangan putus asa doa dan mohon dari Allah swt. Chairil muda. Kalau ujian waktu muda ini lulus cemerlang, insya-Allah Chairil jadi manusia yang lebih baik dari sekarang pada hari tua.”

Chairil mengangguk kemudian bergerak perlahan-lahan mencari lokasi baru untuk memancing. Dia mahu bersendirian. Dia mahu muhasabah diri. Dia mahu mencari ketenangan yang hilang.

Firdaus diam tanpa menyampuk. Dia lebih teruja dengan sebarau, tenggalan, baung, kelah, kaloi, lampam yang sudah memenuhi tong kecilnya. Hilang mengantuk dan rasa berbaloi membaling umpan di tasik yang luas itu. Cuma sesekali apabila dia mencuri dengar perbualan Chairil dengan Pak Man, dia tahu, ada sesuatu yang tidak kena.

Telefon dari Kak Rose membuatkan Firdaus tergagap-gagap menjawab.

“Bos okay tak?”

“Mood tak baiklah!”

“Bila kau orang nak sudah memancing. Kami nak balik KL cepat.”

“Woitt.. saya tak berani nak tanya bos. Dia memancing kat sini ni, saya rasa dia nak lempar sekali saka dia dengan umpan ikan dalam tasik ni lah!”

“Aku tanya betul-betul­lah!”

“Saya jawab betullah ni!”

“Tanyalah bos bila nak balik?”

“Tak berani. Mood ribut taufan. Berbahaya untuk perahu perahu kecil!”

Tidak sampai lima minit, tiba-tiba terdengar suara Chairil yang garau menjerit kesakitan. Bunyi sesuatu jatuh di batu kemudian berdebur di dalam air amat menggerunkan di pagi yang hening itu.

“Chairil!!”

“Bos!”

“Chairil!!

“Allah!! Kenapa ni?”

Pak Man dan Firdaus pantas menerpa dan menarik Chairil yang tiba-tiba tergelincir.

“Saya tak apa-apa. Sikit aje..” Suara itu lirih. Sangat tidak bermaya.

“Berdarah kepala bos! Bocor ni... mana boleh tak apa-apa. Kami nak tampal macam mana?” Firdaus agak panik melihat darah yang laju mengalir di tepi telinga.

“Tekap dengan kain.”

“Firdaus kemas barang. Biar Pak Man tunggu. Kita gerak sekarang.”

“Saya tak apa-apa.”

“Jangan degil bos. Payah-payah sangat, pakai mata kail nanti saya jahit kepala bos!”

Chairil tidak mampu menegah. Hatinya membantah mahu dibawa ke hospital. Namun sekelilingnya terasa kelam. Hutan yang memagari alam, banjaran Titiwangsa yang perkasa seperti me­ngejek dirinya. Dalam kelam dunia berubah suram dan gelap. Kilau air Tasik Banding membuat dia terpana. Sisa angin dingin bagai menyampai cerita, membisikkan rahsia. Ya Allah! Inilah geruh yang aku rasakan sejak tadi! Patutlah aku rasa tak sedap badan! Kalau ini kifarah untuk aku, aku reda.

“Fir, call Pia. Kata dengan dia, ikut suka dialah. Kalau nak balik sama mak dia atau sama Haziq.” Nafas tidak tersusun namun tetap Sofea yang terucap di bibirnya.

Firdaus berkerut menggeleng. Huh! Dah tumbang pun nama Pia juga diingatnya! Bukannya ingat mak bapak!

Sekawan burung yang berterbangan di hujung tasik bagai mengibas sayap duka. Angin dingin terus bergemuruh di siang yang semakin kelam di mata Chairil. Kalaulah aku burung, aku mahu terbang pada engkau, Pia! Mana engkau Pia?

Bersambung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:01 AM