Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Kerajaan memfokuskan usaha menoktahkan kemiskinan tegar pada empat negeri yang merekodkan peratusan melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, berdasarkan data semasa, Sabah merekodkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus.

"Ia diikuti Kelantan (0.8 peratus), 0.4 peratus di Sarawak dan Kedah, 0.3 peratus," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu negeri yang disasarkan kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, kerajaan melalui kerjasama merentas kementerian dan agensi melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar yang bermatlamat meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk miskin, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Hanifah Hajar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Hanifah Hajar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Katanya, dari segi pelan tindakan, keutamaan akan diberikan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimum potensi ekonomi, menambah baik akses perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara ejen persekutuan dan negeri.

Katanya, sebagai contoh melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, setakat ini sudah berhasil membantu 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 di seluruh negara.

"Melalui program IPR, ia memberi manfaat kepada golongan miskin, antaranya melalui inisiatif usahawan makanan. Pada Januari lalu, terdapat peserta yang mengusahakan mesin layan diri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900.

"IPR akan dikembangkan dengan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (Intan) di Kelantan. Dalam hubungan ini, dipohon kerjasama kerajaan negeri untuk memberi pajakan tanah, sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun bagi pelaksanaan program pertanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 12:55 PM