GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Najiy Jefri


KEHIDUPAN manusia tidak terlepas daripada pelbagai peristiwa, rintangan, peluang dan pengalaman.

Semua itu boleh dijadikan pengajaran setiap insan bagi menjadikan peribadi yang lebih baik daripada hari ke hari.

Melihat keadaan dunia yang semakin membimbangkan apabila jumlah kes positif Covid-19 kini sudah mencecah hampir dua juta orang setakat semalam membuatkan kita sebagai manusia perlu melihat perkara ini dari sudut yang sangat serius.

Harus diingat wabak yang semakin menular ini bukan satu perlumbaan atau pertandingan, negara mana yang akan mencatat rekod angka kematian tertinggi atau kes positif, sebaliknya bagaimana virus ini perlu ditangani segera dengan satu kesepakatan daripada setiap insan untuk memutuskan rantaiannya.

Pujian harus diberikan kepada kerajaan Malaysia apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kesiapsiagaan dan keupayaan kerajaan dalam menangani jangkitan Covid-19 ini.

Malah, kerajaan dikatakan cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO, tetapi juga kepada orang ramai.

Tidak hanya itu, penghargaan juga harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu dan gentar menjalankan tugas. Semuanya demi memastikan Covid-19 tidak terus merebak.

Sudahlah berdepan risiko, berjauhan dengan keluarga, pastinya sokongan emosi amat diperlukan bagi memastikan mereka terus kuat mengharungi hari-hari mendatang.

Bagaimanapun timbul rasa kekesalan apabila terdapat segelintir syarikat produksi menyuarakan hasrat supaya kerajaan sedia memberi kelonggaran untuk mereka keluar melakukan penggambaran.

Dalam masa sama, memberi jaminan akan mematuhi segala syarat pencegahan keselamatan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Entah apa yang ada di dalam fikiran mereka ketika itu sehingga tergamak untuk meneruskan penggambaran seolah-olah sudah cukup kebal dengan musibah yang sedang melanda dunia.

Ketika petugas barisan hadapan tidak cukup masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, ada pula manusia yang seperti mementingkan diri sendiri untuk meneruskan penggambaran.

Apakah jaminan mereka virus Covid-19 ini tidak akan tersebar walaupun berjanji mematuhi syarat penjarakan sosial sedangkan anggaran antara 20 hingga 30 kru terbabit dalam setiap penggambaran? Bagaimana mahu memantau penjarakan sosial ini sepanjang masa.

Belum lagi apabila kru dan pelakon ini pulang ke rumah berjumpa keluarga dan anak atau singgah membeli barangan keperluan. Sekiranya virus itu ada pada badan mereka bukankah ia akan merebak dan satu masalah lain pula bakal timbul?

Itu tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya masa yang getir ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Malah, stesen televisyen juga faham situasi yang berlaku, jadi tidak perlu tergesa-gesa.

Disebabkan situasi ini juga, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) terpaksa mengambil langkah dengan memboikot penerbit yang meneruskan penggambaran tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jika ingkar, nama pengarah yang juga ahli FDAM disenarai hitam. Selain itu, FDAM akan menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menarik balik lesen penerbitan dan tidak akan meluluskan sokongan ke atas Sijil Perakuan Penggambaran Finas.

Hidup ini bukan mencari wang semata-mata. Dunia ini adalah persinggahan yang singkat, namun janganlah terburu-buru atau khuatir kerana wang bukan segala-galanya.

Percaya atau tidak apabila jatuh sakit nanti segala nikmat kebahagiaan akan hilang dari pandangan mata dan wang tidak lagi menjadi sesuatu yang ingin dikejar.

Buat penggiat seni, tidak perlulah bekerja setiap hari sampai larut malam hingga mengorbankan waktu istirahat. Cukup sekadar semampu dan sewajarnya tanpa harus kehilangan masa atau mendedahkan diri dengan bahaya. Cintai hidup dan hindari apa yang menjadi perkara buruk.

Satu perkara lagi, musibah yang datang ini juga mengajar kita semua supaya menabung dari awal untuk bekalan hari mendatang.

Jangan sesekali kita mengajar diri untuk menerima bantuan. Jadikan kerjaya yang dilakukan sebagai salah satu cara untuk berjaya dalam hidup kerana selama ini di sebalik simbahan cahaya populariti yang dinikmati seseorang itu sebenarnya mereka sedang menderita.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:00 AM