Ezzaty Abdullah.
Ezzaty Abdullah.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Ezzaty Abdullah, 31, mengambil inisiatif kuarantin diri sendiri serta melakukan ujian calitan Covid-19 sebanyak tiga kali demi memastikan dia sepenuhnya bebas daripada virus terbabit.

Ia susulan dia menjadi kontak rapat dengan seorang pelakon yang disahkan positif virus terbabit baru-baru ini. 

Ezzaty mengakui sangat paranoid, memandangkan ini pertama kali dia menjadi kontak rapat. Justeru, dia tidak mahu mengambil ringan hal itu dan tidak akan kembali bekerja selagi belum yakin dengan kesihatannya.

"Saya mula kuarantin diri di rumah sejak 22 April lalu selepas berita ada pelakon positif Covid-19 di set penggambaran saya. Serta-merta saya terus lakukan ujian calitan pertama dan keputusannya negatif.

"Semalam, saya mendapat keputusan calitan kedua yang mana negatif juga dan pihak kesihatan cakap, saya sudah bebas. Bagaimanapun, tempoh kuarantin saya masih berbaki beberapa hari lagi dan esok saya mahu buat ujian calitan kali ketiga.

"Sepatutnya saya sudah kena masuk set penggambaran, tapi tak mahulah pentingkan diri sendiri. Meskipun tiada apa-apa simptom dan keadaan saya sihat-sihat saja, tapi saya nak pastikan ujian ketiga itu negatif selain habiskan tempoh kuarantin," katanya.

Ezzaty berkata dia tidak salahkan siapa-siapa pun dalam hal itu. Namun, dia berharap mana-mana pelakon atau kru produksi termasuk dirinya sendiri berwaspada dengan lebih tegas apabila bekerja di set penggambaran.

"Kita tak tahu pun siapa yang membawa atau bagaimana virus itu boleh merebak di set penggambaran. Itulah yang harus saya sendiri kena jaga dengan lebih berhati-hati meskipun selama ini memang mematuhi arahan keselamatan sepenuhnya sewaktu bekerja.

"Saya bersyukur mujur pihak produksi termasuk drama The Maid 2 arahan Michael Ang juga faham hal itu. Saya sepatutnya sudah kembali ke set penggambaran sejak 25 April lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih berada dalam kuarantin," katanya.

Baru-baru ini, tiga pelakon iaitu Laila Nasir, Sweet Qismina dan Farisha Irwayu serta seorang penolong pengarah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani penggambaran drama Kiblat Yang Hilang di Hulu Langat, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 12:44 PM