USTAZ Don. FOTO Arkib NSTP
USTAZ Don. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Penampilan semula pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don dalam program Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat sambutan positif penonton.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai di media sosial rasmi RTM, penonton rancangan itu menyambut baik kemunculan semula Ustaz Don selepas direhatkan dari program terbabit.

Walau bagaimanapun, kata Suhaimi, adalah penting bagi pihak RTM untuk meredakan keadaan terlebih dahulu susulan isu yang berbangkit membabitkan pendakwah berkenaan.

"Apa yang dapat dilihat seperti di media sosial kita, sambutan memang sangat positif. Jadi, saya rasa apa yang paling penting dari pihak RTM ialah kita redakan dahulu dengan merehatkan Ustaz Don.

"Kerana ada yang bergaduh di media sosial mengenai perkara ini, jadi kita selesaikan terlebih dahulu," katanya.

Suhaimi berkata, pertemuan yang diadakan dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) baru-baru ini juga menyelesaikan isu berbangkit sekali gus membolehkan Ustaz Don membuat penampilan semula dalam program berkenaan.

"Bagi pihak RTM, kita buat program yang baik itu yang paling penting. Mengenai komen negatif, bila kita tiada ilmu kita cari orang berilmu, sebab itu Jakim bantu kita dan Ustaz Don juga sudah meminta maaf yang mana tersilap dan dibetulkan.

"Jadi, yang paling penting kita mencari kejernihan jiwa dalam setiap orang, kita maju ke hadapan. Kita jangan menghukum, bila semua sudah sedar bagaimana untuk buat penambahbaikan, kita 'move on'.

"Pihak kami juga akan memastikan setiap program yang disiarkan mengikut peraturan serta garis panduan sedia ada," katanya.

Terdahulu, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.

Pendakwah selebriti itu direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakannya ketika bersiaran di konti stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan kenyataan Ustaz Don mengenai kisah Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW yang diragui.

Ustaz Don kemudian dipanggil Jakim baru-baru ini yang turut disertai wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.

Salam Baitullah di RTM adalah rancangan yang bersiaran setiap kali musim haji. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:02 PM