SUHAIMI bersama keluarga rela tular jika kisah mereka jadi pengajaran. FOTO Instagram Suhaimi Saad
SUHAIMI bersama keluarga rela tular jika kisah mereka jadi pengajaran. FOTO Instagram Suhaimi Saad
Ardini Sophia Sina


BEKAS anggota kumpulan nasyid Inteam, Suhaimi Saad tampil menjelaskan pendiriannya yang sebelum ini pernah menolak suntikan vaksin dan tidak menghantar anaknya ke sekolah menerusi status Facebook.

Suhaimi, 39, atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad berkata, apabila semakin ramai netizen yang datang menyerang dan menulis komen tanpa memahami situasi sebenar, maka dia berasa ia perlu dijelaskan.

“Sebelum ini, saya tidak ambil pusing pun dengan kata-kata netizen. Tetapi, apabila semakin ramai yang memberikan komen negatif tanpa kefahaman dan cerita benar, saya rasa ia perlu dijelaskan.

“Saya tidak mahu orang lain terus berdosa kerana salah anggap terhadap saya. Ia akan menjadi fitnah dan buruk sangka. Bagaimanapun, kalau sudah dijelaskan dan masih ada bertindak negatif, itu bukan lagi tanggungjawab saya,” katanya.

Suhaimi berkata, dia rela ditularkan dan dikecam untuk isu yang mempunyai pengajaran dan bermanfaat untuk orang lain.

“Saya faham apabila mereka ingin menulis mengenai saya kerana ia ada nilai dan menarik untuk dibaca. Secara tidak langsung, pengikut di Instagram dan Facebook juga bertambah. Alhamdulillah.

“Saya rela tular andai isu berkenaan punya pengajaran dan kebaikan untuk orang ramai. Tetapi, pada masa sama, kita juga harus bertanggungjawab mendidik masyarakat supaya lebih bijak dan tenang dalam menilai dan melontarkan pandangan,” katanya.

Suhaimi turut berharap supaya pihak media memilih untuk menggunakan istilah dan tajuk berita kerana ia akan mempengaruhi tanggapan awal kepada netizen sehingga beremosi dalam menilai sesuatu berita.

Dalam perkembangan lain, Suhaimi tampil dengan lagu Doa Buat Ibu hasil ciptaan sepenuhnya yang didedikasikan khas buat arwah ibunya.

Terdahulu, isu berkenaan menolak suntikan vaksin dan tidak menghantar anak ke sekolah sudah mulai mendapat perhatian dan kecaman umum sejak 2016.

Suhaimi mendirikan rumah tangga dengan Ina Naim dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie El Fardie, 11, Sallman El Khoyri, 9, Phyrosh El Fadwah, 7, dan Nurlayla El Ghufrony, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 7:15 PM