Alyah tarik diri dari program realiti, The Hardest Singing Show (THSS).
Alyah tarik diri dari program realiti, The Hardest Singing Show (THSS).
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datin Alyah, 43, menarik diri dari program realiti, The Hardest Singing Show (THSS) yang baru memasuki minggu kedua malam tadi kerana mendapat penggilan mengerjakan haji pada 12 Jun depan.

"Saya memohon semua peminat mendoakan saya seterusnya mendapat haji yang mabrur. Insya-Allah," katanya ketika sesi siaran langsung program realiti itu di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, di sini.

Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan turut memohon maaf kepada seluruh tenaga kerja program THSS dan semua yang terbabit.

Menurut isteri pengarah dan pengkritik muzik terkenal, Datuk Ramli MS ini, dia juga menitipkan doa kepada semua peserta lain untuk melakukan yang terbaik dalam program berkenaan.

"Saya tahu ramai teruja nak tunggu macam mana suara saya menyanyi lagu K-Pop. Jadi, saya wasiatkan persembahan ini kepada Nabil. Balik nanti saya nak tengok persembahan berkenaan," katanya.

Menerusi minggu kedua bertemakan Revolu-Sihat, Alyah sepatutnya menyanyikan lagu I Am The Best yang dipopularkan kumpulan Kpop, 2NE1.

Selain Alyah, peserta lain yang turut bersaing dalam program ini ialah Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, Stacy dan Ayda Jebat.

Program itu menampilkan gandingan pengacara Rina Nose dan Nabil Ahmad. Ia bersiaran selama 10 minggu bermula 12 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:04 PM