SETIAP pasangan berkahwin mengimpikan hubungan yang baik sehingga ke akhir hayat.
SETIAP pasangan berkahwin mengimpikan hubungan yang baik sehingga ke akhir hayat.
Hafiz Ithnin


DALAM hubungan antara manusia, siapa yang tidak gemarkan unsur kejutan yang positif? Apatah lagi, dalam meraikan hari bahagia, sejambak bunga atau sepotong kek sudah pasti memberi kegembiraan kepada pasangan masing-masing.

Namun, dalam meniti hubungan perkahwinan yang mungkin sudah lama, anda mungkin sudah terlupa mengenai perkara indah seperti yang pernah dilakukan sebelum berkahwin dahulu.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, antara persoalan yang sering diajukan kepada pasangan suami isteri 'senior' namun masih lagi hidup bahagia adalah rahsia mereka mengekalkan kebersamaan walaupun sudah bertahun-tahun hidup berdua.

Jelasnya, sudah pasti setiap pasangan senior ada rahsia yang tersendiri dan mereka ada petua serta pedoman yang boleh kita pelajari selain terapkan dalam hidup sehari-hari. Maka, pasangan

'junior' disyorkan rajin meminta tip daripada emak dan ayah mereka misalnya.

"Penyelidikan ahli sarjana dan pakar antarabangsa menyatakan bahawa rahsia utama perhubungan romantis dan perhubungan yang kekal positif adalah kebaikan hati dan selalu berbuat baik kepada pasangan. Rahsia kedua pula adalah kemurahan hati kepada pasangan kita.

"Penyelidik dan Pakar Psikologi Klinikal Institut Gottman, Dr John Gottman dan Dr Julie Gottman meletakkan nilai yang tinggi kepada kebaikan hati antara pasangan berdasarkan penyelidikan dan pengalaman mereka," katanya.

Tambahnya, penyelidikan mengenai kualiti perkahwinan dalam jurnal antarabangsa tersohor 'Journal of Marriage and Family' pada tahun 2013 pula mendapati kemurahan hati antara pasangan mengekalkan kebersamaan meskipun berpuluh tahun lamanya.

SUAMI atau isteri boleh melakukan perkara yang jarang dilakukan tetapi membahagiakan pasangan.
SUAMI atau isteri boleh melakukan perkara yang jarang dilakukan tetapi membahagiakan pasangan.

"Kebaikan hati dan kemurahan hati membawa nilai yang amat positif dalam semua perhubungan romantis, khasnya dalam ikatan perkahwinan. Namun, pasangan yang baik hati dan murah hati tetap perlu menzahirkan perkara itu dalam berumahtangga.

"Apakah cara yang paling mudah untuk menzahirkan kebaikan dan kemurahan hati, istimewa untuk pasangan anda? Caranya dengan membuat 'kejutan' positif istimewa untuk pasangan dari semasa ke semasa," katanya.

Dr Airil berkata, kejutan yang menggembirakan pasangan membawa sinar bahagia dan memberi petanda bahawa anda amat prihatin akan kebajikannya.

"Masalahnya, kita memang perlu mengambil berat akan pasangan dan menjaganya pada setiap masa dan ketika.

"Akhirnya, kita terlupa untuk memberi kejutan positif kepada pasangan kerana kesibukan hidup sehari-hari," katanya.

PERKAHWINAN pastinya mempunyai cabaran di dalam perhubungan antara pasangan.
PERKAHWINAN pastinya mempunyai cabaran di dalam perhubungan antara pasangan.

Tambahnya, pada masa yang sama, kejutan juga tidak boleh dibuat setiap hari kerana nilai positifnya mungkin akan jatuh. Terserahlah kepada anda untuk mencuri masa dan mencari keadaan yang sesuai untuk memberi kejutan positif kepada pasangan tersayang.

"Secara logiknya, kejutan bererti melakukan suatu perbuatan yang di luar kebiasaan seharian. Apabila pasangan terkejut dengan perbuatan itu, maka kejutan itu berjaya membawa reaksi positif yang dimahukan.

"Bukan susah pun untuk membuat kejutan positif buat pasangan anda. Perkara yang paling mudah dan terlihat paling kecil pun sungguh bermakna. Misalnya, membantu melakukan tugasan dalam atau luar rumah yang selama ini selalu dibuat oleh pasangan anda," katanya.

Jelasnya, untuk memberi kejutan kepada pasangan, misalnya pada hujung minggu anda pula yang melakukan tugasan itu.

"Walaupun kejutan untuk memasak makanan Eropah kegemaran pasangan anda berakhir dengan kegagalan, kerana anda memang tidak boleh memasak, usaha itu sudah memberi gambaran diri anda yang baik hati dan murah hati dengan pasangan.

"Paling utama, kejutan anda tidak perlu yang mahal atau di luar kemampuan sendiri kerana kejutan yang paling manis dan positif adalah yang lahir dari keikhlasan hati yang terdalam," katanya.

Katanya, kejutan yang bermakna adalah yang lahir daripada keikhlasan hati. Kejutan juga tidak perlu dibuat setiap hari kerana apabila sering terkejut dikhuatiri pasangan kita akan berasa hambar dengan kejutan-kejutan yang dibuat.

"Keluarlah daripada rutin sehari-hari yang selalu membuatkan kita terlupa untuk menghargai pasangan. Memang rasa kasih dan sayang tetap ada dan tidak hilang, tetapi perasaan itu perlu dibakar dengan kemesraan, misalnya yang datang dari kejutan-kejutan positif.

"Keluar makan bersama, bercuti di tempat peranginan, memberi hadiah tanpa sebab dan 1001 satu perbuatan baik lagi akan memberi kejutan yang positif kepada pasangan anda. Sekali-sekala membuat kejutan, apa salahnya? Ini pasti akan menaikkan semangat anda untuk menjadi insan yang lebih baik hati dan selalu murah hati," katanya.

Tambahnya, teras hidup suami, isteri dan berkeluarga adalah kebersamaan. Daripada kebersamaan itu akan terbit pula kebahagiaan. Kejutan-kejutan positif menjadi bahan bakar yang dapat menghangatkan rasa romantis ke arah kemesraan dan kebersamaan yang berkekalan dengan izin Tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:01 AM