Man Bai
Man Bai
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi, Man Bai, 57, melahirkan perasaan terkejut dengan konsep program realiti, The Hardest Singing Show (THSS) yang dilihat boleh mendatangkan risiko kepada penyanyi yang menyertainya.

Man Bai yang juga penyanyi kumpulan Gersang berkata, dia mengikuti sedutan program ini di Instagram dan mendapati ia boleh membawa kecederaan jika tersilap langkah.

"Saya tengok dan kata apa ini? Penyanyi lompat sini, lompat sana dan tergantung. Bahaya kerana kita kena utamakan keselamatan setiap masa. Penyanyi tak boleh terlalu beriya-iya nak buat itu ini masa menyanyi.

"Memang ada penyanyi nak buat lebih dari kemampuan tapi tak boleh. Penerbit program ini kena tahu perkara itu tak boleh dan mendatangkan bahaya. Kena ada aspek keselamatan sepenuhnya jika nak buat.

"Benda belum terjadi tapi kita kena ingat sebelum sesuatu perkara buruk berlaku," katanya.

Menurutnya, persembahan ringkas tetapi menarik pun sudah memadai kerana ia dilihat lebih sesuai dengan program.

"Nama program pun The Hardest Singing Show bukan The Hardest Showmanship. Maksudnya penyampaian lagu yang susah nak dinyanyikan, bukan tunjukkan 'showmanship' yang artis nak kena panjat sana sini.

"Saya tengok dalam Instagram Ayda Jebat, masa rehearsal okey saja tapi masa 'show' dia terjatuh. Kasihannya dia. Saya bukan nak kutuk tapi saya minta tenaga produksi jangan nak terlalu tunjuk kreativiti.

"Kalau ada pun biarlah bertempat. Seni itu kena jaga. Artis-artis pun dah dikenali dan ada nama. Jadi apa lagi yang mereka cari," katanya.

Program The Hardest Singing Show menampilkan gandingan pengacara Rina Nose dan Nabil Ahmad, bersiaran selama 10 minggu bermula 12 Mei lalu

Peserta yang bersaing dalam program ini ialah Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, Stacy dan Ayda Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:34 PM