KAKA tidak menduga fotonya menggayakan serkup rambut berwarna biru tular dan menarik perhatian warganet. FOTO Instagram Kaka Azraff
KAKA tidak menduga fotonya menggayakan serkup rambut berwarna biru tular dan menarik perhatian warganet. FOTO Instagram Kaka Azraff
Norhayati Nordin


"TAK ada apa yang saya nak komen mengenai foto itu. Ia gambar ketika sesi fotografi majalah dan eksperimental fesyen.

"Apa boleh dikata, saya suka meneroka sesuatu yang baru dan mencuba. Apatah lagi, berkaitan fesyen," kata penyanyi dan pelakon Kaka Azraff.

Sejak kelmarin, tular foto Kaka, 30, menggayakan serkup rambut berwarna biru pada sesi fotografinya bersama sebuah majalah hiburan.

Kaka yang kini berada di New York, Amerika Syarikat (AS) dihubungi menerusi WhatsApp berkata, dia tidak menduga foto berkenaan tular dan menarik perhatian warganet di negara ini.

"Jika foto itu tular, ia di luar kawalan saya. Namun, saya berharap janganlah membuat penilaian mudah.

"Saya juga tidak melihat diri sebagai mangsa eksploitasi fesyen menerusi foto itu. Ia kerana, tiada had dalam fesyen,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu, terpulang pada pandangan masing-masing untuk menerima fesyen digayakan secara positif atau sebaliknya.

Ditanya juga mengenai aktiviti di AS, Kaka sekadar memberitahu dia ada berkongsi fotonya di media sosial.

Masih aktif dalam karier nyanyiannya, Kaka yang juga anak saudara 'Ratu Rock' negara, Ella, cukup dikenali menerusi lagu seperti Bawaku Pergi, Bukan Hal Aku, Tepi Sikit dan terbaru, Sibuk.

Kaka juga sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya yang juga usahawan, Adam Azriff pada 14 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 2:35 PM