Kuala Lumpur: Penggiat seni tanah air berharap pembentangan Bajet 2017 petang esok dapat memberi sesuatu yang positif terhadap perkembangan industri seni tanah air yang dilihat semakin berkembang pesat.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, sebagai orang berpengalaman dalam industri hiburan tanah air, beliau melihat banyak filem tempatan yang dihasilkan begitu membanggakan.

Justeru, beliau berharap filem berkenaan dapat dieksport ke luar negara untuk dipromosikan di negara asing.

“Saya melihat perkara ini secara tidak langsung memberi impak kepada nama Malaysia. Jadi, saya berharap kerajaan akan lebihkan promosi dengan mengeksport isi kandungan produk Malaysia ke luar negara.

“Contohnya animasi Upin & Ipin yang berjaya mencipta nama di luar negara. Diharap perkara ini akan diteruskan lagi dan diperbanyakkan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah drama popular, Michael Ang berharap bajet kali ini melebihkan dana untuk pelajar dalam kos penerbitan filem dan drama.

“Melalui pengalaman saya ketika terbabit dalam sebuah program pembikinan telefilem yang membabitkan pelajar, masih banyak kekurangan terhadap proses pembelajaran mereka.

“Dengan adanya dana yang diberikan mungkin dapat menghasilkan lebih banyak pelapis muda untuk bergelar penerbit yang terbaik dan bagus satu hari nanti. Saya yakin dana adalah salah satu punca menyebabkan mereka tidak mendapat tenaga pengajar yang mahir di samping bahan rujukan kurang canggih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:35 AM