NAJIB dan Datuk Yusof Haslam (dua dari kiri) serta Datuk Baharudin Omar (dua dari kanan) pada majlis berbuka puasa PM bersama karyawan seni di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
NAJIB dan Datuk Yusof Haslam (dua dari kiri) serta Datuk Baharudin Omar (dua dari kanan) pada majlis berbuka puasa PM bersama karyawan seni di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak bersedia mempertimbangkan supaya golongan penggiat seni turut berpeluang memiliki rumah mampu milik iaitu Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Seramai 2,000 tetamu daripada pelbagai cabang seni seperti sasterawan, budayawan, penulis, kartunis dan artis menghadiri majlis berbuka puasa itu.

Kesediaan Najib itu susulan pengumuman Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pada 11 Jun lalu iaitu kerajaan mewujudkan kuota khas buat penggiat seni memiliki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Dua dan Kepong.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian pakej penajaan menunaikan umrah kepada 25 orang terpilih dalam kalangan karyawan, seniman, penggiat seni dan kreatif, budayawan dan penyiar.

Katanya, penajaan akan diberi keutamaan kepada mereka yang belum pernah mengerjakan ibadah umrah dan kurang berkemampuan iaitu selepas musim haji tahun ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, penggiat seni serta golongan yang terbabit dalam bidang seni kreatif perlu memainkan peranan menanam nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat menerusi penghasilan karya mereka.

Beliau berkata, kelompangan yang berlaku dalam masyarakat masa kini memerlukan usaha untuk mengukuh jati diri individu, bangsa dan negara keseluruhannya, sekali gus ia memerlukan peranan golongan terbabit.

“Kelompangan ini menjadikan proses pembinaan negara bangsa belum lagi utuh dan kukuh, malah kita melihat ada masalah sosial dalam masyarakat termasuk isu gangsterisme dan buli yang menjadi perhatian umum.

“Saya berharap peranan menanam nilai kemanusiaan lebih mulia dalam masyarakat boleh dimainkan kerana kita bukan hanya mahu membina lebuh raya serta bangunan pencakar langit, tetapi tamadun tinggi dengan nilai murni,” katanya.

Majlis anjuran Yayasan Perdana Ummah dengan kerjasama Pejabat Penasihat Perdana Menteri dan Team Salute Malaysia bermula jam 5.30 petang hingga 10.30 malam.

Sebanyak 60 persatuan seni memberi komitmen antaranya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kartunis Malaysia, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:28 AM