Freddie (dua kanan) bersama penyanyi, Datuk Ramli Sarip dan Khadijah pada Sidang Media Majlis Makan Malam Legends. Foto Eizairi Shamsudin
Freddie (dua kanan) bersama penyanyi, Datuk Ramli Sarip dan Khadijah pada Sidang Media Majlis Makan Malam Legends. Foto Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan bantuan konsisten perlu disalurkan kepada penggiat seni veteran dalam keadaan uzur dan hilang upaya untuk kelangsungan hidup mereka dapat diteruskan.

Freddie berkata, Karyawan mempunyai senarai panjang nama penggiat seni veteran yang memerlukan dalam pelbagai situasi dan pemberian bantuan 'one stop' saja tidak memadai untuk mengurangkan bebanan ditanggung.

"Ada yang gelandangan, ada yang tak ada pendapatan, ada yang sakit, tak ada rumah dan sebagainya. Jadi, kita (Karyawan) ada satu 'list' (senarai) yang panjang dan mereka (penggiat seni veteran) perlukan bantuan secara konsisten.

"Kita tidak boleh buat bagi sekali bantuan (one stop) dan selepas itu lupakan saja. Mereka tidak boleh hidup selama-lamanya dengan pemberian satu kali bantuan dan kita kena aturkan untuk bantuan berterusan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Freddie, dalam soal menghulur bantuan ini semestinya sebagai persatuan yang prihatin, pihak Karyawan akan muncul setiap kali ada penggiat seni veteran berada dalam kesusahan.

Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim pula berpendapat, sekiranya hanya menumpukan pemberian bantuan kewangan saja sudah tentu dana dikumpul tidak mencukupi, namun peluang pekerjaan sesuai juga harus diwujudkan.

"Pada pendapat saya, kalau kita beri bantuan duit saja memang tidak cukup. Tapi, kita nak cuba bantu mereka ke arah 'jalan keluar' apa yang boleh dilakukan untuk menyumbang semula kepada industri.

"Mereka boleh cuba mendapatkan pendapatan kembali seperti jika mereka penulis lagu dan pemuzik, kita nak jemput mereka untuk berkarya serta di mana boleh tempatkan mereka bekerja. Itu yang kita nak cuba lakukan.

"Kita tidak mahu terus beri duit dan duit saja, melainkan kalau mereka sakit yang tidak boleh bangun dan terlantar. Kalau (mereka) masih boleh bekerja serta berkarya, kita nak ambil untuk bagi peluang kerja," katanya.

Terdahulu, Freddie dan Khadijah hadir pada sedang media sempena Majlis Makan Malam Legends

yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Jun depan bagi mengumpul dana Tabung Karyawan.

Persembahan nyanyian selama tiga jam itu dibarisi penyanyi seperti Khadijah, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie dan Rahimah Rahim dengan diiringi pemuzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di bawah kelolaan Profesor Ramlan Imam.

Sehubungan itu, bagi syarikat korporat dan individu berminat untuk tajaan menerusi pembelian meja mengikut beberapa pakej disediakan berharga RM100,000 sehingga RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 1:35 PM