YUSOF menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli.
YUSOF menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli.
ZULKIFLI dan tetamu asyik mendengar ceramah disampaikan Ustaz Che Amran.
ZULKIFLI dan tetamu asyik mendengar ceramah disampaikan Ustaz Che Amran.
USTAZ Che Amran memberikan ceramah yang menyentuh hati hadirin.
USTAZ Che Amran memberikan ceramah yang menyentuh hati hadirin.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Tidak sampai sebulan memegang tampuk Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Datuk Zulkifli Zain sudah turun padang menjalankan tugas apabila menganjurkan program Malam Kesyukuran dan Silaturrahim Sempena Menyambut Maulidur rasul 2015.

Ironinya, program yang berlangsung di Finas, Hulu Klang, baru-baru ini, berjaya menarik kehadiran ramai penggiat seni veteran, sekali gus menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap usaha beliau serta ahli jawatankuasa PKAVM.

Pada majlis ini, hadirin turut diperdengarkan dengan nyanyian berkonsep dakwah dan kerohanian serta mendengar ceramah yang disampaikan Ustaz Che Amran Md Yusoff.

Gaya penyampaian beliau yang kemas, menarik serta menerapkan unsur humor berjaya membuatkan semua yang hadir melekat mengikuti penyampaiannya dari awal sehingga akhir.

Bahkan satu sesi soal jawab ringkas turut diadakan yang bertujuan memberi peluang buat penggiat seni bertanyakan sebarang kemusykilan mereka pada Ustaz Che Amran.

Lebih daripada itu, majlis ini turut dihadiri presiden persatuan anak seni lain antaranya Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, wakil Yayasan Artis 1Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan Presiden Profima, Khir Mohd Noor.

Kehadiran mereka bukan sahaja bertujuan memeriahkan majlis, bahkan turut menyumbangkan dana kepada tabung PKAVM yang hampir kering akibat salah laku kepimpinan sebelumnya.

Sesiapa pun tak kebal

Zulkifli yang ditemui melahirkan perasaan gembiranya kerana majlis ini mendapat kerjasama baik daripada pelbagai individu, syarikat dan persatuan yang menyokong.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Datuk Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, pihak swasta dan presiden persatuan yang membantu memberi sumbangan dan menaja majlis ini.

“Kata orang niat baik direstui dan itu yang berlaku kerana saya akui kami tiada dana untuk anjurkan majlis ini. Semuanya berlaku atas pertolongan mereka yang prihatin.

“Sejak mula pegang jawatan ini saya sudah beritahu semua ahli jawatankuasa yang kita diberi tanggungjawab dan perlu laksanakannya dengan ikhlas. Saya nampak kebaikan program ini untuk menyatukan ahli dan terus rancang mengadakannya.

“Ternyata respons yang diterima daripada semua ahli sangat baik dan selepas ini kami merancang mengadakan majlis lain pula,” katanya.

Mengulas tindakan yang bakal diambil terhadap kepimpinan terdahulu, Zulkifli membayangkan banyak kerja perlu dibuatnya selepas ini.

“Dalam mesyuarat agung lalu, kami ada terima penyata kewangan, tapi enggan meluluskannya kerana ada banyak keraguan.

“Kami juga minta bekas pemangku presiden sebelum ini, Kismah Johari menyertakan resit dan penyata untuk setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Kami beri tempoh 21 hari untuk mereka berbuat demikian dan sekiranya gagal, perkara ini akan dibawa ke peringkat seterusnya.

“Saya bukan nak menganiaya Kismah atau sesiapa, tapi perlu diingat ini adalah amanah yang perlu dipikul. Tiada sesiapa pun kebal dalam persatuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:01 AM