RAHIZAHWATI (tiga dari kiri) selepas sidang media Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert di KLCG Bakery, Dataran Merdeka.
RAHIZAHWATI (tiga dari kiri) selepas sidang media Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert di KLCG Bakery, Dataran Merdeka.
Ramlah Zainal


BARISAN artis terkenal tanah air seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Ratu Rock Ella dan Dayang Nurfaizah bakal menyemarakkan Konsert Amal, Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert yang berlangsung jam 8 malam di Hotel The Westin pada 17 Mac depan.

Konsert amal ini dianjurkan sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan syarikat Qew Communications (QewComm).

Pengarah Urusan QewComm yang juga pengarah projek, Datin Rahizahwati Yahya, berkata, konsert amal ini dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disalurkan ke badan kebajikan terpilih untuk membantu golongan memerlukan.

"Kami percaya tiba masa untuk QewComm memberi semula kepada masyarakat terutama insan yang memerlukan menerusi penganjuran konsert amal ini.

"Objektif kami mengadakan konsert amal ini untuk mengumpul dana bagi badan kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Pertubuhan Kebaikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

"Namun, dana bukan hanya untuk anak seni, sebaliknya bantuan disalurkan YKN adalah secara menyeluruh. Contohnya, dari segi pendidikan dan sebagainya," katanya.

Rahizahwati ditemui pada sidang media Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert di KLCG Bakery, Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Ditanya pemilihan barisan artis pula, kata Rahizahwati, ia berdasarkan pembabitan mereka yang cukup sinonim dengan aktiviti amal di negara ini.

"Pasti ramai yang merindui gandingan Khadijah dan Ramli di pentas persembahan, jadi kami satukan semula atas pentas ini.

"Selain itu, antara artis yang terbabit dalam persembahan amal Solidariti Untuk Iskandar Spring ialah Syafiq Farhain, Ameng Spring, Umarul Iklim dan Belle Fatah.

"Mereka akan diiringi barisan pemuzik profesional tanah air iaitu Ritz Metalasia, Helmi, Ude Wahid, Ujang Exist, Robot dan ramai lagi," katanya.

Mengenai sasaran kutipan pula, kata Rahizahwati, pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan RM30,000 pada malam konsert amal itu nanti.

"Tiket dan jualan meja untuk menyaksikan konsert amal ini sudah mula dijual kepada orang ramai. Kami berharap, konsert ini akan mendapat sambutan hangat kerana setiap pembelian tiket dan meja akan disalurkan ke badan kebajikan terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:32 AM