Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak, Azlee Senario menjana pendapatan mencecah RM15,000 sebulan menerusi sesi secara langsung di TikTok.

Azlee, 57, berkata, dia mensasarkan pendapatan menerusi platform itu sebanyak RM500 dalam sehari.

"Sasaran saya, satu hari saya nak jana RM500. Tapi, kalau dapat lebih, itu bonus. Kenapa saya nak RM500? Sebab kita kena kalikan dengan sebulan, menjadi RM15,000," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azlee, dia kini membayar beberapa pembiayaan menggunakan pendapatan dari TikTok.

"Saya akan keluarkan sebulan sekali walaupun boleh dikeluarkan setiap hari. Alhamdulillah, setakat ini duit rumah, duit kereta semua saya dapat bayar menggunakan pendapatan dari TikTok," katanya.

Berkongsi mengenai minatnya untuk menjadi pengacara siaran langsung di TikTok, Azlee berkata, hari pertama dia bersiaran, dia berjaya menjana RM8,900 dalam masa lima minit.

"Tak sangka saya boleh jana pendapatan di situ dan terkejut orang boleh bagi hadiah sebanyak itu. Singgalah, pauslah, macam-macamlah yang saya dapat.

"Dalam masa lima minit di hari pertama itu, saya dapat RM8,900," katanya.

Azlee juga anggota Senario juga menyeru agar artis veteran menggunakan platform itu untuk menjana pendapatan tambahan.

"Jadi, saya cakap kepada pengikut saya, kenapa kamu tak mahu gunakan TikTok untuk cari pendapatan sampingan?

"Contohnya artis lama, mereka ada peminat lagi. Peminat tetap sayangkan mereka dan mereka akan berkongsi rezeki. Saya hos TikTok, jadi saya tengok Datuk Red yang dalam kesusahan.

"Tapi, oleh kerana dia tak malu dan guna platform betul, orang bantu dia dan akhirnya dia boleh beraya dengan anak-anak.

"Bukan kita nak minta sedekah. Tidak. Tapi orang beri hadiah dan kita anggap itu hadiah daripada orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:06 PM