Zubir Khan. Foto dari Instagram
Zubir Khan. Foto dari Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer lagu Tamil popular, Zubir Khan, 24, pernah menangis teruk kerana tidak mendapat kerja disebabkan kekurangan dirinya yang tiada tangan kiri akibat termasuk ke dalam mesin kek sewaktu berumur empat tahun.

Zubir atau Muhammad Zubir Mohamad Ali dihubungi berkata, dia bagaimanapun mahu bekerja dan berdikari selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berhasrat ingin memberi wang kepada ibu bapanya hasil daripada titik peluh sendiri.

"Selepas SPM, walaupun saya anak bongsu yang manja, namun ibu bapa dan keluarga tidak pernah memaksa saya untuk belajar atau bekerja. Mereka beri kelonggaran untuk saya melakukan apa yang disukai dan saya rasa sangat okay.

"Ini kerana saya ada jugalah tertarik, macam hati saya berniat nak bagi duit kepada ibu bapa. Tak kisahlah keluarga kita ada bisnes ke apa, tapi saya nak bagi ibu bapa duit daripada hasil titik peluh sendiri.

"Jadi, saya pergi minta kerja dan mereka kata saya tak ada tangan. Kalau barang itu jatuh, siapa nak bayar. Mereka macam kutuk saya. Apabila balik rumah, saya menangis dan minta doa kepada Allah untuk diberi jalan keluar," katanya kepada Harian Metro.

Zubir berkata, dia bersyukur suatu hari seorang sahabatnya yang berbangsa India datang berjumpa dan memberikan kata-kata semangat kepadanya agar tidak terus bersedih kerana ada kemahiran boleh menyanyi.

"Saya diminta oleh rakan itu tidak terus bersedih sebab tiada kerja kerana katanya, kamu boleh menyanyi. Cubalah menyanyi dan 'post' di TikTok ke, YouTube, mana tahu orang suka. Rakan itu beri saya jalan dan saya buat.

"Suatu hari, saya 'viral' (tular) di FaceBook sebab ada orang ambil video saya di TikTok. Jadi, saya fikir itu 'jalan keluar' yang Allah beri, di mana kejayaan saya dalam industri lagu. Ini seni awak dan pergilah dalam bidang itu.

"Jadi, saya tak lepaskan peluang dan terus berusaha sehinggalah nama saya naik sekarang," katanya mengakui kini tiada lagi tangisan sedih daripada kata-kata negatif yang diterima disebabkan tiada sebelah tangan.

Ditanya mengenai insiden tangannya itu, Zubir berkata dia reda dengan takdir hidupnya dan sekali gus tidak berasa kekurangan tangan itu menghalang dirinya bangkit untuk meraih kejayaan seperti hari ini.

"Kiranya 20 tahun lepas, ketika umur empat tahun, tangan saya masuk dalam mesin kek. Ayah saya ada kilang roti dan tangan saya masuk mesin kek. Saya degil masa itu, nangis-nagis nak ikut ayah dan akhirnya ayah terpaksalah bawa saya (ke kilang).

"Pergi sana (kilang), saya main-main dan saya masuk tangan dalam mesin (kek)," katanya yang mengakui kini sudah tidak berasa malu dengan kekurangan tiada tangan kiri itu.

Zubir berkata, dia bangkit membuktikan tiada sebelah tangan, tidak bermakna individu sepertinya tidak boleh menunggang motosikal dan memandu kereta atau melakukan apa saja yang orang lain pandang rendah terhadap dirinya.

Sudah menghasilkan tujuh lagu Tamil ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri sejak 2019, Zubir berkata, kunci kejayaannya kini adalah dia tidak malu belajar dan suka mempelbagaikan kemahiran bahasa.

Tujuh lagu Tamil nyanyian Zubir yang popular di YouTube dengan mencatat jutaan tontonan ialah Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle, Yennode Macha dan terbaharu, OMK (Oh My Khadhale) duet bersama Ezra Kairo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 12:18 PM