EZRA dan Zubir pada majlis sidang media meraikan kejayaan lagu duet OMK di sini, baru-baru ini. - FOTO Hazreen Mohamad
EZRA dan Zubir pada majlis sidang media meraikan kejayaan lagu duet OMK di sini, baru-baru ini. - FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Bukan mudah untuk sesebuah karya diterima semua golongan apatah lagu buat pendatang baru dalam dunia seni.

Begitupun, tuah dan bersandar pada bakat seni membolehkan lagu duet berjudul OMK (Oh My Kadhale) dendangan penyanyi baru, Ezra Kairo dan Zubir Khan berjaya mencapai lebih 1.7 juta tontonan dalam masa tiga minggu.

Disamping trending nombor satu di carta muzik video YouTube sejak dilancarkan di semua platform digital pada 17 Mei lalu.

Lebih memberangsangkan, lagu OMK yang juga gabungan genre muzik Melayu dan Tamil ini juga berjaya mendapat lebih 400,000 pendengar di Spotify.

Secara peribadi, Ezra atau nama sebenarnya, Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson, 23, yang bernaung di bawah pengurusan EMI Music Malaysia (EMI) mengakui dia sangat gembira dan terharu

dengan maklum balas peminat pada lagu OMK itu.

"Lagu ciptaan komposer Mingaling ini ditulis dalam bahasa Tamil dan Melayu.

"Ia menceritakan kisah seorang lelaki yang sangat mencintai teman wanitanya dan berusaha untuk membuatnya bahagia.

"Saya juga bangga dapat menyampaikan lagu yang menyatukan rakyat dari pelbagai kaum," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan lagu terbabit bersama Zubir, di sebuah premis baru-baru ini.

Selain lagu OMK, penyanyi keturunan India Muslim ini juga dikenali dengan lagu kolaborasinya seperti Anak Helang dan Kinrara.

ZUBIR anggap rezeki dari Allah S.W.T. - FOTO Hazreen Mohamad
ZUBIR anggap rezeki dari Allah S.W.T. - FOTO Hazreen Mohamad

Zubir, 24, pula menganggap kejayaan lagu OMK adalah rezeki dari Allah SWT.

"Lagu OMK adalah salah satu lagu gabungan Melayu dan Tamil yang berjaya masuk dalam carta muzik tempatan.

"Lagu ini istimewa dan unik kerana ia juga mendapat sambutan hangat dari kaum India dan Melayu.

"Semoga lagu ini dapat menyatukan kita dari pelbagai kaum dan latar belakang," katanya yang tidak bernaung di bawah mana-mana pengurusan.

Penyanyi dan komposer muda berbakat besar yang kehilangan sebelah tangan ketika berusia empat tahun ini mula mendapat perhatian ramai menerusi lagu 'cover' bahasa Tamil pada 2017.

Selain lagu OMK, enam lagi lagu bahasa Tamil ciptaan Zubir ialah Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle dan Yennode Macha yang kesemua muzik videonya mencatat jutaan tontonan di YouTube.

Sementara itu, Ketua EMI, Adib Hamdi berkata, selepas setahun pelancaran semula, EMI sudah mencapai kejayaan yang menyumbang kepada visi strategik lebih besar.

"Pencapaian awal ini dijangka membuka jalan untuk kejayaan lebih besar pada masa depan.

"Selepas OMK, EMI akan berada dalam kedudukan yang lebih baik dan kami yakin pencapaian awal ini akan mendorong lebih banyak kejayaan dan membawa EMI ke arah menjadi peneraju pasaran dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:43 AM