Norhayati Nordin


MUNCUL menyanyikan lagu dalam bahasa Tamil menjadi pilihan tepat buat penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Zubir Khan, 24, untuk mencipta nama dalam karier seni nyanyian tanah air.

Zubir atau Muhammad Zubir Mohamad Ali mengakui dia mula berjinak-jinak mencuba nasib menjadi anak seni pada 2017 lalu dengan tampil membuat lagu 'cover' dalam bahasa Tamil.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, dia yang belum fasih berbahasa Tamil ketika itu tetap mendapat galakan padu daripada rakan-rakan India agar gigih berusaha tanpa rasa putus asa.

"Pada 2017, saya juga menyanyi lagu-lagu Tamil dalam majlis kenduri kahwin dan datangnya 2018, saya teruskan membuat lagu 'cover' di media sosial sehinggalah 2019, baharu saya cipta dan tulis lirik untuk lagu Tamil sendiri.

"Saya banyak belajar menguasai bahasa Tamil dengan dibantu rakan India dan bagaimana cepat fasih serta tahu makna setiap perkataan dengan sebutan betul menerusi lagu yang saya hasilkan.

"Jadi, kenapa saya memilih untuk menyanyi lagu Tamil kerana suka belajar pelbagai bahasa. Ditambah, saya ada pilihan itu apabila pernah membesar di kawasan estet di Sepang, Selangor bersama-sama dikelilingi kaum Melayu, Cina dan India," katanya.

Zubir yang kini popular dengan lagu Oh My Khadhale atau OMK duet bersama rakannya, Ezra Kairo berkata, sehingga sekarang dia gembira sudah menghasilkan tujuh lagu Tamil ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri.

"Lagu-lagu Tamil ciptaan saya tidak terikat kepada kisah cinta semata-mata. Saya cuba buat lagu berdasarkan pelbagai jalan cerita seperti perkenalan dengan wanita, hubungan persahabatan dan percintaan.

ZUBIR Khan kini dikenali ramai dengan lagu Tamil, Oh My Khadhale.
ZUBIR Khan kini dikenali ramai dengan lagu Tamil, Oh My Khadhale.

"Apa yang utama, saya cuba pastikan setiap lirik lagu yang saya tulis itu 'catchy', senang disebut dan mudah diingati oleh sesiapa saja yang mendengarnya. Saya juga memastikan makna setiap perkataan digunakan itu baik.

"Saya bersyukur dengan keberanian untuk mencul sebagai penyanyi lagu bahasa Tamil membawa saya dikenali sejauh ini dan merasai kuasa 'viral' (tular) di media sosial itu. Bagi saya, ini rezeki dan keputusan tepat yang dibuat.

"Kalau saya tampil menyanyi lagu bahasa Melayu yang sememangnya sudah ada ramai penyanyi yang bagus, rasanya nama dan bakat saya mungkin ambil masa untuk menyerlah serta dikenali ramai," ujarnya.

Memasang impian untuk belajar bahasa Mandarin pula selepas ini, Zubir berkata, tiada rugi pun belajar pelbagai bahasa dalam kehidupan kita dan atas sebab itu dia sentiasa membuka minda serta berfikiran positif demi masa depan.

"Saya seorang yang suka belajar dan mencuba kerana saya yakin dengan ilmu mampu membawa kita pergi jauh dalam kehidupan ini. Malah, saya bersyukur dan rasa amat bertuah dilahirkan sebagai warganegara Malaysia.

"Negara kita ada berbilang kaum dan selama ini hubungan saya bersama rakan berlainan bangsa serta agama baik-baik saja. Kami saling membantu dan amat menghormati antara satu sama lain," katanya.

Selain lagu OMK, enam lagi lagu bahasa Tamil ciptaan Zubir ialah Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle dan Yennode Macha yang kesemua muzik videonya mencatat jutaan tontonan di YouTube.

Zubir berkata, bagi muzik video lagu OMK itu, dia tidak menduga karya berkenaan berjaya berada di #6 'trending' (sohor kini) muzik YouTube Malaysia dengan tontonan menghampiri 1.7 juta dalam tempoh tiga minggu dilancarkan.

ZUBIR akui buat pilihan tepat muncul sebagai penyanyi lagu Tamil.
ZUBIR akui buat pilihan tepat muncul sebagai penyanyi lagu Tamil.

Tiada tangan tetap boleh berjaya

Kehilangan sebelah tangan ketika berusia empat tahun akibat termasuk ke dalam mesin kek di kilang roti milik bapanya, Zubir mengakui ia takdir yang sudah Allah SWT tetapkan untuk dirinya dan pernah berasa sedih suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, sekarang kesedihan yang dihadapinya itu sudah hilang sepenuhnya apabila sedar perancangan Allah sangat baik dan tidak perlu berasa malu dengan kekurangan diri.

"Saya memang tiada sebelah tangan dan itu fakta. Namun, di sudut lain saya masih boleh mencapai kejayaan untuk diri sendiri dengan kemahiran bakat menyanyi dan mencipta lagu yang Allah kurniakan ini.

"Jadi, sekarang saya tidak lagi menyorokkan kekurangan tangan yang tiada ini kerana saya masih boleh menunggang motosikal dan memandu kereta sebagaimana orang normal yang lain. Semua semangat ini ada dalam diri sendiri," katanya.

Jelas Zubir, hanya diri kita saja boleh bangkit daripada kekurangan yang ada dengan mendapat sokongan moral daripada semua pihak seperti ibu bapa, keluarga, sahabat baik dan kenalan rapat yang ingin melihatnya berjaya.

Ditanya juga lagu baharu akan datang, Zubir berkata, dia bukan seorang yang biasa mencipta lagu untuk koleksi simpanan, sebaliknya karya itu akan dihasilkan kira-kira lima atau enam bulan sekali untuk dilancar terus kepada pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:01 AM