Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan, Zubir Azmi memberi bayangan tidak dapat membantu Terengganu apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi keempat saingan Liga Super di laman sendiri, Sabtu ini berikutan kecederaan dialaminya.

Bagaimanapun, pemain pertahanan itu berharap kesebelasan skuad Penyu mampu mencatat kemenangan.

Pemain berusia 24 tahun itu memerlukan tempoh seminggu lagi untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami baru-baru ini.

“Masih ada beberapa hari lagi sebelum perlawanan ini dan saya harap dapat berita positif,” katanya selepas sesi latihan semalam.

Zubir berkata, Helmi Remeli yang mengisi posisinya sepanjang tidak diturunkan akibat kecederaan, menunjukkan prestasi baik.

Justeru, dia berharap Helmi dapat terus cemerlang selaku pertahanan kiri untuk membantu Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila berdepan ATM.

Terengganu kini menghuni tangga keempat liga dengan enam mata daripada tiga perlawanan, di belakang FELDA United, Perak dan PDRM.

FELDA United dan Perak, masing-masing mengumpul tujuh mata manakala PDRM ketiga dengan enam mata.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:24 AM