DJ Lin memenangi Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak ABPBH ke-34 disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). FOTO AZIAH AZMEE
DJ Lin memenangi Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak ABPBH ke-34 disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Hidup dan mati saya dengan Suria FM."

Itu kata penyampai radio, DJ Lin yang sekali lagi memenangi kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34) buat kali keempat.

Lin berkata, tahun ini adalah tahun yang sangat bermakna buat dirinya dan keluarga besar stesen Suria FM apabila tiga penyampai mereka tercalon dalam kategori sama.

"Tahun ini memang berbeza dan menjadi sejarah. Ini satu kejutan apabila buat pertama kalinya, tiga penyampai Suria FM berjaya membolosi senarai calon untuk kategori ini. Ia juga satu pencapaian dan anugerah daripada Allah," katanya.

Menurut Lin, kemenangannya itu bukan sahaja untuk dirinya, bahkan mewakili keluarga besar Suria FM.

"Siapa pun yang menang, itu tidak menjadi masalah kerana kami membawa nama Suria FM. Kami berjuang berhabis-habisan.

"Kemenangan ini menyaksikan saya sekali lagi naik ke pentas sekaligus mewakili anak-anak buah saya," katanya.

Selain Lin, empat calon lain yang tersenarai dalam kategori sama adalah Jep Sepahtu, Sharifah Shahirah, Siti Elizad dan Tyzo.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:25 PM