Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin ketika sidang media Ruang Udara Suria di Menara Star. FOTO AZIAH AZMEE
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin ketika sidang media Ruang Udara Suria di Menara Star. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Bila dia lafazkan di depan muka sudah tentu saya tergamam kerana itu perkataan yang keluar daripada mulutnya."

Demikian kata Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin mengenai kenyataan bekas penyampai Suria FM, Tyzo yang mengatakan dirinya menjadi mangsa penganiayaan ketika sesi siaran langsung di TikTok miliknya pada Jumaat lalu.

DJ Lin berkata, dia tidak menyangka Tyzo tergamak mengeluarkan perkataan itu sedangkan hubungan mereka selama ini ibarat adik-beradik.

"Saya agak sedih sebab tak tahu apa masalah dia sehingga sanggup mengeluarkan perkataan itu.

"Saya anggap dia seperti adik saya sendiri kerana kami sudah kenal sejak 2006 ketika bekerjasama di Suria FM sebelum kontraknya tamat pada 2012.

"Selepas itu ketika saya dilantik sebagai Pengurus Besar Suria FM, antara langkah pertama saya buat adalah memanggil kembali tiga bekas penyampai dan salah seorangnya adalah Tyzo.

"Ketika saya usulkan nama dia kepada pihak pengurusan tertinggi Suria FM, Alhamdulillah dia diberi rezeki untuk kembali berkhidmat semula pada 2016.

"Sejak itu juga hubungan kami semakin rapat. Saya tak nampak di mana silapnya. Saya tidak mengatakan orang tak berhak benci saya, cuma saya sayangkan silaturahim yang sudah terjalin," katanya.

Ditanya mengenai tuduhan netizen yang mengatakan DJ Lin dengki dengan kejayaan Tyzo selepas menewaskannya dalam kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 pada Julai tahun lalu, DJ Lin menafikan fitnah itu.

"Saya rasa dengki itu tidak ada. Dalam menentukan barisan nama bukan keputusan saya seorang. Segala keputusan dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi.

"Sebenarnya selepas berakhir anugerah itu saya mengarahkan staf saya untuk mempromosikan kejayaan Tyzo di media sosial kerana kami amat bangga dengan hasil kejayaan produk kelahiran Suria FM.

"Malah saya juga ada meminta kakitangan untuk menganjurkan majlis kejutan sempena kejayaannya dan buktinya masih ada di platform media sosial Suria FM.

"Selain itu, saya juga masih menyimpan ucapan kejayaan kepada Tyzo yang memenangi anugerah itu. Kalian boleh lihat, saya tak padam lagi," katanya.

Dalam masa sama, DJ Lin berkata, dia belum bersedia untuk berjumpa empat mata dengan Tyzo.

"Kalau dia nak jumlah biarlah antara dia dengan pihak pengurusan Suria FM saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:11 PM