Penyampai radio, Tyzo. Foto Genes Gulitah
Penyampai radio, Tyzo. Foto Genes Gulitah
Zaara Talita


Petaling Jaya: Penyampai radio, Tyzo mengakui ada berjumpa Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin untuk merayu sebelum kontraknya ditamatkan.

Tyzo atau pemilik nama penuh, Zolqarnain Idris, 47, menepis dakwaan ego kerana mengakui sayang akan kerjayanya sebagai penyampai radio di stesen berkenaan.

"Mungkin saya tidak pernah membuka mulut kepada sesiapa mengenai isu ini tetapi saya pernah merayu kepada DJ Lin pada tarikh 4 Januari lalu. Bukan itu saja, saya juga ada berjumpa dengan Datuk Aminuddin.

"Saya kalau boleh masih mahu bekerja jadi saya menjatuhkan ego dan maruah saya serendah-rendahnya. Saya tidak mempedulikan mengenai harga diri dan sebagainya, semua saya letak tepi.

"Itu menyebabkan saya betul-betul terkilan diperlakukan sebegitu kerana saya sudah berjumpa untuk memohon dipertimbangkan keputusan itu. Jadi kalau kata saya berlagak, takkan saya sehingga merayu.

"Saya terkilan kenapa dengar 'rumours' dan tidak bertanya terus kepada saya? Bagaimana boleh buat andaian sendiri saya sudah menerima tawaran kerja di tempat lain?," katanya.

Tyzo yang ditamatkan kontrak pada Jumaat minggu lalu menjelaskan belum menerima tawaran rasmi di mana-mana stesen radio lagi buat masa ini.

Biarpun ada yang 'merisik' namun Tyzo mengakui perlu mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memberikan kata putus.

"Ada beberapa stesen radio yang bertanya namun sekadar merisik dan belum ada yang memberikan kata putus lagi. Tapi saya ada komitmen jadi perlu mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran.

"Memasuki tahun baru, saya berhasrat untuk bergerak aktif dalam bidang pengacaraan pula. Mungkin televisyen dan 'podcast', semoga dibukakan jalan untuk ke arah itu pula," kata Tyzo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 12:03 PM