ADIBAH Noor kini semakin kurus.
ADIBAH Noor kini semakin kurus.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: "Kalau dulu, nasi lemak tu tiga bungkus saya makan. Sekarang cuma satu bungkus," kata penyanyi dan pelakon popular, Adibah Noor, 52, yang kini semakin kurus selepas mengawal pengambilan makanan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu menjadi bualan netizen apabila gambar terbarunya menunjukkan tubuhnya semakin susut.

Adibah ketika dihubungi berkata, dia kini hanya mengehadkan untuk makan sebanyak enam suap saja setiap kali makan.

Selain itu, dia turut kurang mengambil makanan dan minuman kurang sihat selain menjauhkan minuman bergula.

"Saya ambil makanan yang dimasak segar dan tak guna makanan diproses atau dalam tin," katanya.

Adibah berkata, dia nekad untuk lebih menjaga tahap kesihatannya sejak lebih dua bulan lalu memandangkan usia semakin meningkat.

"Sudah tiba masanya saya jaga kesihatan sebab sudah tua. Lutut pun sudah sakit, jalan jadi mengah. Jadi saya terfikir sekarang masa terbaik untuk mulakannya," katanya.

Adibah berkata, kesedaran itu datang daripada diri sendiri dan bukannya disebabkan dia kini mengalami masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 3:04 PM