JUREY, doakan Alif cepat sihat.
JUREY, doakan Alif cepat sihat.
Norhayati Nordin


PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli tidak menafikan golongan penggiat seni antara yang mudah terdedah dengan jangkitan Covid-19 ketika ini.

Menurut Jurey, selagi kita semua perlu keluar bekerja untuk mencari sumber pendapatan sudah semestinya akan terdedah dengan risiko dijangkiti.

"Wabak Covid-19 yang bahaya ini adalah musuh yang tidak nampak. Ditambah, ia sudah ada dalam komuniti dan kita perlu terus berhati-hati selagi vaksin tidak ditemui.

"Saya bersimpati dengan dugaan yang menimpa pelakon, penyanyi dan pengacara, Alif Satar yang kini dijangkiti Covid-19. Saya melihat apa yang berlaku, sebenarnya bergantung pada nasib.

"Tak ada orang pun yang nak sakit, apatah lagi terkena jangkitan Covid-19 ini. Namun, ia dugaan buat Alif. Cuma, memandangkan dia (selebriti) dikenali ramai, maka mendapat perhatian. Bagaimanapun, saya doakan Alif cepat sihat," katanya.

Menurut Jurey lagi, aktiviti seni seperti penggambaran drama tetap kena dijalankan bagi sumber pendapatan penggiat seni untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama menyara keluarga dan anak-anak.

"Setakat ini, apa yang saya tahu aktiviti penggambaran dibuat memang mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak produksi serta penerbit sangat memberikan kerjasama yang baik.

"Cuma, macam saya kata perkara membabitkan dijangkiti ini berkait dengan nasib. Walau kita sangat berjaga-jaga pun, jika Allah mengatakan nak kena, maka akan terkena juga.

"Dalam soal ini (jangkitan) memang tidak boleh salahkan sesiapa. Malah, pada masa sekarang kita kena banyak berdoa semoga dihindari daripada pandemik ini pada ketika keluar bekerja mencari rezeki," katanya.

Mengulas juga mengenai sikap segelintir netizen yang gemar mengecam golongan penggiat seni, Jurey berkata seharusnya lebih berhati-hati kerana kita semua tidak tahu nasib sendiri.

Katanya menuding jari pada kesalahan orang lain memang mudah, tetapi cuba bayangkan jika terkena pada diri atau keluarga sendiri. Justeru, ber

waspadalah ketika menulis komen, mengecam atau mengkritik.

Baru-baru ini, Alif yang pernah popular dengan drama Dia Semanis Honey berkongsi situasi dirinya yang disahkan dijangkiti Covid-19. Bukan hanya Alif, tetapi datuk, ibu bapa dan adiknya juga dijangkiti wabak itu.

Alif kini menjalani kuarantin dan dirawat di sebuah hospital di Melaka, manakala keluarganya mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh. Sementara itu, isteri dan anak-anak Alif disahkan negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:20 AM