Adibah hadir bagi perbicaraan kes hadanah bersama bekas suaminya, Rosland Othman yang kini suami kepada Miera Leyana di Mahkamah Tinggi Syariah 2, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Adibah hadir bagi perbicaraan kes hadanah bersama bekas suaminya, Rosland Othman yang kini suami kepada Miera Leyana di Mahkamah Tinggi Syariah 2, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Perbicaraan kes hadanah atau hak penjagaan kekal dituntut suami pelakon Miera Leyana iaitu Rosland Othman, 51, terhadap dua anak perempuan iaitu Nur Anisa, 13, dan Nurin Tasnim,12, daripada bekas isteri, Adibah Abdul Mutalib, 51, masih belum mencapai kata sepakat.

Peguam Syarie, Junid Ramali yang mewakili Adibah selaku defendan berkata, pada prosiding perbicaraan kes hadanah kekal hari ini, mahkamah mendengar keterangan daripada pihak plaintif (Rosland) berhubung tuntutan yang dibuatnya.

"Kes masih berjalan daripada keterangan pihak plaintif pada hari ini terhadap hak penjagaan kekal dua anak perempuan itu dan masih lagi tiada kata sepakat untuk anak-anak berkenaan akan tinggal bersama siapa.

"Jadi, kita teruskan saja kes ini kerana kedua-dua pihak (plaintif dan defendan) masing-masing ada hak penjagaan ke atas dua anak-anak itu sebagai ibu bapa kandung yang sah.

"Cuma, di pihak defendan (Adibah), saya yang mewakili anak guam, macam biasa akan berusaha membuktikan kemampuan atau kelayakan (penjagaan) agar dapat diputuskan berdasarkan perkara tersebut," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya berhubung tuntutan kes hadanah ini yang sudah berjalan lebih setahun, Junid berkata, pihaknya berharap ia dapat diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini juga.

"Insya Allah, doakan kita 'settle' (selesaikan) pada tahun ini juga. Apapun, anak guam saya (Adibah) sentiasa bersedia dan akan terus memberikan kerjasama yang baik.

"Bagi pihak anak guam saya selaku defendan akan memberikan keterangan dalam perbicaraan yang disambung pada Julai depan," katanya ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Adibah yang hadir berbaju jingga tidak dapat ditemubual kerana kurang sihat. Manakala, Rosland hadir ditemani ibu mentuanya, Aisah Abdullah, 62.

Sebelum ini, kes tuntutan hadanah kekal berkenaan difailkan Rosland pada 24 Mac tahun lalu dengan dia selaku plaintif diwakili peguam, Nurul Balqis Nordin dari Amri & Associates.

Perbicaraan seterusnya di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Hussain akan bersambung pada Julai depan.

Terdahulu, Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos, tahun lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 3:25 PM