Adibah hadir di mahkamah pada perbicaraan kes hadanah bekas suami, Rosland Othman di Mahkamah Tinggi  Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Adibah hadir di mahkamah pada perbicaraan kes hadanah bekas suami, Rosland Othman di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Hak penjagaan hadanah penuh yang dituntut suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman, 51, terhadap dua anak perempuannya iaitu Nur Anisa, 13, dan Nurin Tasnim, 12, nampaknya belum lagi mencapai kata sepakat.

Terdahulu, perbicaraan tuntutan hadanah membabitkan Rosland dan bekas isterinya, Adibah Abdul Mutalib, 51, berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Hussain di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Peguam mewakili Adibah, Junid Ramali ditemui berkata, pihaknya akan berusaha sedaya-upaya berjuang membantu anak guamnya itu bagi mendapat hak penjagaan penuh (hadanah) dua anak, Nur Anisa dan Nurin Tasnim.

"Pada perbicaraan tuntutan hadanah hari ini antara anak guam saya, Adibah dan bekas suaminya membabitkan anak keempat dan kelima mereka yang memerlukan kami menyoal balas keterangan yang diberikan pihak plaintif (Rosland).

"Sebelum ini, keputusan penjagaan interim pada Oktober tahun lalu dibuat berdasarkan pemilihan anak dan sekarang kami mahu lawan untuk hak penjagaan kekal memandangkan ibu lebih rapat kepada anak-anak perempuan.

"Seperti biasa pihak sana (Rosland) selaku plaintif mengatakan mereka lebih layak menjaga dua anak itu. Tapi, kami sebagai defendan juga yakin sudah tentu ibu orang yang paling layak menjaga anak, apa lagi itu adalah anak perempuan.

"Jadi kami masih positif untuk lawan sehingga keputusan muktamad diterima. Kami pun sebelum ini ada cuba untuk selesaikan di luar (mahkamah), namun tidak berjaya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Junid, mereka di pihak defendan juga masih belum mendapatkan keputusan bagi tuntutan nusyuz yang difailkan oleh Rosland (plaintif) pada Disember 2021.

"Keputusan kes nusyuz belum diputuskan lagi dan mungkin pada Februari depan. Malah, bagi tuntutan hadanah (penjagaan anak) ini pun mungkin akan ada dua hingga tiga kali perbicaraan lagi.

"Apapun, saya dapati Adibah memang layak untuk mendidik anak-anak itu menjadi anak solehah sebab kesemuanya, lima orang adalah anak perempuan. Memang tiada sebab dia (Adibah) hilang kelayakan menjaga anak-anaknya. Kebenaran akan terbukti juga," katanya.

Sebelum ini Adibah mendapat hak penjagaan interim untuk dua daripada tiga anaknya selepas Rosland memfailkan tuntutan pada 24 Mac tahun lalu.

Dua anak mereka iaitu Nur Liyana, 19, dan Nurin Tasnim, 12, memilih untuk tinggal bersama Adibah, manakala seorang lagi, Nur Anissa, 13, memilih menetap dengan Rosland.

Pasangan Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos, tahun lalu.

Mereka sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Rosland bagaimanapun berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 3:54 PM