Adibah hadir di mahkamah pada perbicaraan kes hadanah bekas suami, Rosland Othman yang telah berkahwin dengan pelakon Miera Leyana di Mahkamah Tinggi  Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Adibah hadir di mahkamah pada perbicaraan kes hadanah bekas suami, Rosland Othman yang telah berkahwin dengan pelakon Miera Leyana di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib, 51, bersikap terbuka dan tidak menghalang dua anaknya, Nur Liyana, 19, dan Nurin Tasnim, 12, untuk bertemu bapa mereka, Rosland Othman, 51, pada bila-bila masa diinginkan.

Adibah berkata, Rosland tetap bapa kandung kepada anak-anaknya, meskipun Nur Liyana dan Nurin Tasnim kini di bawah penjagaannya selepas mendapat hak interim sebagai penjaga sementara pada 19 Oktober, tahun lalu.

"Saya memang tidak menghalang Nur Liyana dan Nurin Tasnim untuk bertemu bekas suami kerana dia tetap bapa mereka. Baru-baru ini pun, Nur Liyana sendiri ada pergi ke rumah Rosland, bertemu bapanya.

"Tiada sekatan langsung daripada saya selama ini. Terpulang kepada anak-anak. Sebagai ibu, saya hanya mahu yang terbaik untuk anak-anak tanpa memutuskan hubungan dengan bapa mereka, apa lagi Rosland adalah bapa kandung," katanya kepada Harian Metro.

Menurut ibu lima anak ini, dia bagaimanapun gembira apabila seorang anaknya iaitu Nur Anisa, 13, yang kini berada di bawah penjagaan sementara bekas suami, balik ke rumahnya pada cuti persekolahan lalu selama seminggu.

"Alhamdulillah, Nur Anisa ada balik ke rumah saya dan tinggal bersama selama satu minggu pada cuti persekolahan lalu. Syukur, dapat juga melepas rindu kepadanya dan dia pun dilihat gembira," katanya.

Terdahulu, Adibah ditemui selepas hadir sebagai defendan pada perbicaraan tuntutan hadanah dua anaknya, Nur Anisa dan Nurin Tasnim di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Hussain.

Pada perbicaraan hari ini, Adibah diwakili peguam, Junid Ramali manakala Rosland diwakili peguam, Nurul Balqis Nordin daripada Amri & Associates.

Rosland juga hadir ditemani ibu mentuanya, Aisah Abdullah, 62, manakala Adibah turut ditemani adik-beradiknya.

Sebelum ini, kes tuntutan hadanah berkenaan difailkan Rosland pada 24 Mac tahun lalu.

Pasangan Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos, tahun lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:50 PM