Adibah Abdul Mutalib
Adibah Abdul Mutalib
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya hanya harap mendapat keputusan yang baik. Saya serahkan semua kepada pihak mahkamah," kata Adibah Abdul Mutalib, 50, yang juga bekas madu pelakon Miera Leyana berhubung hak penjagaan dua anaknya.

Pada Selasa lalu, Adibah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk keputusan permohonan hadanah interim atau sementara terhadap anak perempuannya berusia 11 dan 12 tahun yang difailkan bekas suami, Rosland Othman pada 24 Mac lalu.

Hakim Shamsuddin Hussain bagaimanapun memaklumkan, tiada keperluan terdesak untuk permohonan hadanah interim oleh Rosland itu dan mahu mendengar keterangan daripada kanak-kanak berkenaan pada 4 September depan.

Peguam, Junid Ramali yang mewakili Adibah selaku defendan berkata, sebutan kes tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak penuh yang juga difailkan pihak plaintif (Rosland) sebelum ini akan dibicarakan pada Isnin depan.

"Justeru, hakim memutuskan tiada keperluan terdesak untuk permohonan hadanah interim dibuat oleh plaintif dan mahu mendengar keterangan daripada dua kanak-kanak berkenaan semasa perbicaraan hadanah penuh pada 4 September depan.

"Jadi, segala keputusan untuk permohonan hadanah penuh ini bergantung pada keterangan yang diberikan oleh anak-anak itu nanti, siapa yang mereka pilih untuk dijaga.

"Kedua-duanya iaitu plaintif dan defendan adalah ibu bapa mereka. Cuma, semoga keputusan yang terbaik saja untuk kedua belah pihak," katanya kepada Harian Metro.

Junid berkata, apa yang paling utama ialah penjagaan kanak-kanak itu terbela daripada pelbagai aspek. Jelasnya, pada ketika ini salah seorang daripada kanak-kanak terbabit tinggal bersama bapa mereka.

Pada sebutan kes permohonan hadanah interim itu, Rosland difahamkan tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Nurul Balqis Nordin dari Amli and Associates.

Terdahulu, ikatan rumah tangga Rosland dan Adibah yang dibina selama 28 tahun terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 sehingga 26 tahun.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Pada Julai 2020, Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 10:00 PM