Chuari Selamat
Chuari Selamat
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Seorang yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan dan tidak pernah melupakan jasa-jasa mereka terhadapnya.

Begitulah sifat terpuji Allahyarham Datuk Hail Amir pada pandangan mata penyampai radio veteran dan penulis lirik, Datuk Chuari Selamat.

Chuari berkata, dia sudah menulis hampir 100 lirik lagu untuk Hail dan menyifatkan amat mudah bekerjasama dengan penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu.

"Bagi saya, arwah seorang penyanyi yang mudah untuk menerima lirik yang saya tulis. Jadi, banyak kenangan bersama arwah, dia sangat mesra dan sentiasa ingat kepada kawan.

"Bila dalam majlis yang dia menyanyi, dia takkan lupa menyebut lagu itu ciptaan siapa kerana ada sesetengah penyanyi selalu lupa perkara itu. Jadi, itu antara kelebihan yang ada pada arwah," katanya ditemui di Masjid Ukay Perdana di sini, hari ini.

Chuari yang terkenal dengan kemahiran berpantun di menerusi radio RTM berkata, suara Hail mempunyai keunikan tersendiri, malah bersifat malar segar dan menjadi siulan sehingga hari ini.

"Seingat saya hampir 100 lagu yang liriknya saya tulis untuk Hail. Bukan ciptaan daripada Tan Sri Ahmad Nawab saja, tapi daripada komposer lain juga termasuk yang menerbitkan album beliau.

"Kebanyakan lagu untuk arwah akan diberi kepada saya untuk saya tulis lirik. Sejak album pertama arwah lagi, iaitu Wajah Kesayangan Hamba. Ketika itu saya diberikan melodi oleh Tan Sri Ahmad Nawab dan diperkenalkan kepada Hail yang waktu itu masih baharu dalam nyanyian," katanya.

Sebagai kenalan lama, Chuari menjelaskan lakonan Hail terutama menerusi filem pertamanya, Jiwa Remaja sangat memberi kesan sehingga perwatakan dan penampilannya menjadi ikutan ramai.

"Dari segi lakonan, sejak filem pertamanya, watak dibawakan arwah sangat baik dan memberi kesan kepada saya. Saya sangat terkesan dengan lakonannya.

"Saya rasa walaupun dia bermula sebagai penari sebelum menjadi penyanyi dan pelakon, dia boleh digelar seorang penghibur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 10:41 AM